PN Perlis tampil lima calon muda

- Advertisement -

KANGAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis menampilkan lima calon anak muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan, Beseri, Kayang, Tambung Tulang dan Guar Sanji.

- Advertisement -

Penyandang DUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berpotensi mempertahankan kerusi berkenaan memandangkan beliau dikenali ramai penduduk setempat.

Mohd Ridzuan berkata, beliau yakin penduduk peka dan bijak membuat pilihan pada hari pengundian 19 November ini.

“Kita sudah bekerja lebih empat tahun di sini, mendampingi masyarakat sekitar DUN Guar Sanji. Sepanjang tempoh tersebut, tidak ada tempat atau lorong yang saya tidak pernah sampai.

“Sebagai anak tempatan di sini, saya yakin penduduk peka dalam menentukan calon pilihan mereka. Sepanjang tempoh kempen ini, saya terus mendampingi rakyat di Guar Sanji,” katanya.

Mohd Ridzuan, 36, merupakan anak muda berlatarbelakang pendidikan agama. Beliau cukup disenangi dalam kalangan penduduk setempat.

Pada PRU14, Mohd Ridzuan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Guar Sanji dengan majoriti 328 undi.

DUN Santan pula PN meletakkan muka baharu iaitu Ustaz Muhammad Azmir Azizan, 42, yang juga anak tempatan.

Beliau berkelulusan Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Usuluddin (Dakwah). Sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Mudir di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Imam An Nawawi (MATIN).

Sejak di bangku sekolah lagi beliau terlibat dengan politik dan dakwah bermula di Sekolah Menengah Al-Alawiyah Ad-Diniah (MAAD).

Beliau pernah menerajui Dewan Pemuda PAS selama dua penggal bermula 2017 sehingga 2021.

Pernah juga dilantik ahli Lembaga Tadbir Sekolah PAS (2020-sekarang), Timbalan Yang Dipertua PAS Padang Besar (2019-sekarang) dan Ketua Penerangan PAS negeri (2019-sekarang).

Di DUN Beseri pula, PN mempertaruh calon paling muda iaitu Haziq Asyraf Dun, 31.

Haziq merupakan graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Sekitaran).

Sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Rendah Islam Mithali Aqrab.

Selepas tamat belajar, beliau mendekati masyarakat dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Padang Besar, Ketua Penerangan PAS Padang Besar, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri dan Ketua Penerangan Pemuda PN negeri.

Selain itu aktif bersama NGO antaranya Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Sejahtera Perlis (KESAH) dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs).

Di DUN Kayang pula, PN meletakkan Ketua Dewan Pemudanya, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil untuk merampas kerusi tersebut yang sebelum ini disandang Hamizan Hassan (BN).

Asrul Aimran merupakan graduan dari Damascus, Syria dalam bidang Diploma Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Beliau juga anak jati Perlis yang aktif terlibat dengan masyarakat. Sebelum ini diberi amanah sebagai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS negeri, Pengarah PASTI negeri, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS dan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri.

Manakala abangnya, Asrul Nizan Abd Jalil juga aktif berpolitik tetapi berbeza wadah iaitu mewakili PH di DUN Sena.

DUN Tambun Tulang pula, Ketua Armada Bersatu Arau, Wan Zikri Afthar Ishak, 35, menjadi pilihan untuk bertanding di DUN tersebut.

Wan Zikri sebelum ini menuntut di Kolej Islam Antarabangsa dalam bidang Diploma Pentadbiran Perniagaan.

Beliau sering mendekati masyarakat melalui NGO termasuk Pertubuhan Progresif Malaysia, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Masjid Putra, Simpang Empat dan AJK Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsan Simpang Empat.

Wan Zikri sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Pembangunan Bisnes (utara) di OYO Malaysia Sdn BHD dan IFCA Bhd. – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -