Pengundi akui terpengaruh retorik pemimpin PH

Muzafariskandar (kanan) bersama Ahmad Fadhli
- Advertisement -

PASIR MAS: Usaha Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas, tidak berdepan cabaran sukar biarpun berlaku pertembungan empat penjuru.

- Advertisement -

Ini berikutan sebahagian penyokong Pakatan Harapan (PH) meluah rasa kesal kerana pernah memberi undi kepada PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Seorang penduduk, Muzafariskandar Ismail, 50, dari Kampung Beta Pohon Buloh, berkata retorik orang politik yang tidak ikhlas berjuang mudah dikesan.

Beliau mengakui pada PRU14 lalu, termakan retorik pemimpin PH, Khalid Samad, di Parlimen Shah Alam sehingga memberi sokongan kepadanya.

“Sedangkan ada calon berimej bersih, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, mewakili PAS juga bertanding di kerusi sama. Sekarang saya sudah insaf.

“Kali ini, tak mungkin tersilap lagi seperti yang pernah saya lakukan di Parlimen Shah Alam. Suara rakyat tidak diendahkan sebaliknya asyik bertegang urat menegakkan benang basah,” katanya ketika ditemui di sini.

Ini menyebabkan Muzafariskandar tidak sabar lagi menunggu tanggal 19 November ini untuk menunaikan tanggungjawab bagi menebus semula kesilapan yang dilakukan pada PRU lalu.

Beliau berkata, calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pasir Mas lebih mudah didekati kerana sering terserempak di masjid atau kedai kopi.

Malah, katanya rakyat boleh bertanya khabar dan mengadu sesuatu masalah.

“Ketika kami sekeluarga tinggal di Shah Alam, tidak pernah berjumpa dengan wakil rakyat termasuk di Masjid Biru Shah Alam,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -