Ibu bapa perlu pastikan anak pulang mengundi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ibu bapa perlu memastikan anak-anak yang bekerja atau belajar di luar Kelantan pulang mengundi pada 19 November ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Kota Bharu Shaari Mat Yaman berkata, ada ibu bapa yang tidak mengambil cakna terhadap tanggungjawab tersebut kerana pengundian hanya di peringkat parlimen sahaja.

Katanya, anak-anak yang berada di luar Kelantan hendaklah merebut peluang pulang untuk menunaikan tanggunjawab mereka bagi menyuburkan lagi demokrasi di negara ini.

“Ibu bapa perlu memastikan kepulangan anak-anak pada 19 November ini kerana tanggungjawab itu begitu besar, lebih-lebih lagi bagi memilih sebuah kerajaan yang mampu mempertahankan ketuanan Islam dan Melayu serta bebas rasuah.

“Kita sebelum ini ada pengalaman berada di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Keluarga Malaysia,” katanya pada program santai di Warung Ummi di Kampung Belukar di sini hari ini.

Program itu dianjurkan Assabiqun PAS Kota Bharu dan Majlis Tindakan Dun Bunut Payong. Hadir sama ahli-ahli jawatankuasa PAS Kota Bharu, Pengelola Halaqat Kota Bharu Azahari Ab Rahman dan Ketua PAS Cawangan Kampung Belukar Mohd Sabri Muhammad.

Shaari juga berkata, ibu bapa boleh mendaftar nama anak mereka dengan Ketua Unit Daerah Mengundi (UDM) masing-masing bagi memudahkan urusan berkaitan kepulangan perantau.

“Kalau ada anak yang enggan pulang, ibu bapa perlu berikhtiar memandangkan tanggungjawab itu hanya berlaku lima tahun sekali bagi pilihan raya peringkat parlimen,” ujarnya.

Beliau turut mengajak penduduk Kampung Belukar hadir bagi memberi sokongan kepada calon PAS pada penamaan calon yang akan diadakan pada 5 November ini.

Manakala majlis pengisytiharan calon PAS yang mewakili PN dijangka diadakan pada malam 2 November ini di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV. – HARAKAHDAILY 29/10/2022

- Advertisement -