Ulama rintis pembaharuan di Kelantan

Oleh INTAN ABDULLAH

Advertisement

ALMARHUM Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya memulakan pembaharuan yang begitu hebat di Kelantan melalui pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Dasar tersebut sekarang disemarakkan pula penggantinya Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yaakob dengan agenda Merakyat Membangun Bersama Islam dengan tonggak 3K iaitu keberkatan, kemakmuran dan kebajikan.

Kejayaan yang dibanggakan itu hari ini melewati tiga dekad, turut menarik perhatian golongan akademik dan pengkaji politik di peringkat nasional.

Dasar MBI mulai dilaksanakan di Kelantan selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 pada 21 Oktober 1990.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Besar, biarpun pada peringkat awal enggan menerima jawatan tersebut. Ternyata kepimpinannya berjaya mengubah sosio politik Kelantan dengan acuan Islam.

Dasar MBI yang digembleng kerajaan Kelantan berupaya menarik keyakinan rakyat sehingga berjaya mengekalkan pentadbiran di bawah kepimpinan ulama lebih 30 tahun.

Dalam tempoh itu banyak usaha yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah ruang lingkup prinsip Ubudiyyah (perhambaan), Mas’uliyyah (kebertanggungjawaban) dan Itqan (ketekunan).

Lebih membanggakan lagi sehingga sekarang tiada satu pun kes rasuah termasuk dalam kalangan kolar putih di Kelantan diheret ke mahkamah.

Perubahan di Kelantan bermula melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila menutup premis perjudian dan mengawal penjualan arak.

Selain itu etika pakaian Islam dan mengawal papan iklan yang mendedahkan aurat wanita. Kelantan juga dimeriahkan dengan majlis-majlis ilmu yang diadakan di setiap Jumaat di seluruh Kelantan.

Kelantan Medan Ilmu

Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati menjadi tumpuan setiap pagi Jumaat bermula jam 8.30 pagi. Di situ juga muncul seakan pasar tani apabila penduduk tempatan melariskan pelbagai jenis barangan dan produk pertanian.

Kerajaan PAS Kelantan turut mengutamakan program pendidikan dengan menaiktaraf sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Sehingga sekarang YIK mengurus lebih 90 sekolah agama di seluruh jajahan.

Kelantan tidak ketinggalan memiliki institusi pengajian tinggi yang bermula dengan Maahad ad Dakwah Wal Imamah pada 1994. Dan pada 1999 dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Kepimpinan ulama juga berjaya menghidupkan tradisi orang Melayu dengan melakukan sesuatu kerja secara bergotong-royong. Ini melibatkan projek-projek kecil termasuk pembinaan jalan, wakaf dan masjid.

Selain dapat menjimatkan kos, tradisi itu juga dapat menyemai semangat kerjasama antara penduduk tempatan.

Juga dibanggakan apabila di Kelantan sekarang muncul bandar-bandar baharu yang tumbuh seumpama cendawan selepas hujan.

Kita boleh lihat bandar baharu bermula di Gua Musang sehingga ke Pengkalan Chepa. Begitu juga dari Jeli sehingga ke Pasir Puteh. Kewujudan bandar-bandar baharu memberi peluang penduduk tempatan mencari rezeki. Ada yang berniaga secara kecil-kecilan dan bekerja di pasar raya.

Di samping membangunkan negeri dari aspek fizikal, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ustaz Ahmad memantapkan pentadbiran kerajaan. Kerajaan negeri mewujudkan sistem pemantauan projek yang dikenali sebagai Sistem Perancangan dan Pemantauan Projek Kelantan (S3PK).

Ia bertujuan untuk mengawal ketirisan dan penyelewengan projek-projek di bawah kerajaan negeri. Selain itu memberi fokus kepada projek berprioriti tinggi.

Menyentuh aspek sosiobudaya pula, kerajaan negeri melarang aktiviti-aktiviti budaya yang bercanggah dengan syariat Islam seperti makyong, tok selapit dan tarian asyik.

Bagaimanapun ada juga aktiviti kebudayaan yang pada awalnya dilarang kemudiannya dibenarkan kembali setelah dibuat perubahan. Contohnya aktiviti wayang kulit dibenarkan setelah dibuang unsur-unsur cerita tahyul dan khurafat.

Segala usaha tersebut bagi membawa rakyat Kelantan kembali kepada Islam selaras dengan dasar MBI. Hari ini selepas 32 tahun berlalu, ternyata kejayaannya muncul di hadapan mata. – HARAKAHDAILY 29/10/2022