TG Presiden PAS bangga memulakan Langkah Sheraton?

- Advertisement -

YA, kami ahli PAS turut berbangga dengan tindakan beliau yang memulakan Langkah Sheraton ini, sekali gus meruntuhkan ego Kerajaan PH yang semakin menampakkan wajah sebenar mereka walaupun baru berusia 22 bulan. Bukan sahaja ahli-ahli PAS yang merasa bangga, malahan ahli dan penyokong BN, BERSATU juga begitu. Tidak ketinggalan juga sebahagian ahli PH yang tertipu dengan janji manis PH sebelum PRU yang penuh penipuan itu.

- Advertisement -

Langkah Sheraton jelas satu langkah yang tepat. Ia tidak jahat sebagaimana Langkah Kajang yang mahu mengenepikan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dengan fitnah dan menggantikan beliau dengan seorang yang hampir ke penjara. Kemudian berkeras mahukan bininya menjadi Menteri Besar, sedangkan tiada kelayakan dan janji mereka untuk PRK Kajang, tiada berbangkit perkara menukar Menteri Besar.

Ia juga tidaklah sehodoh Deklarasi Setapak yang cuba mengenepikan hak keistimewaan Melayu serta Raja-raja Melayu. Deklarasi yang diangkat untuk diterima kerajaan itu, akhirnya membawa kepada pertumpahan darah antara kaum dan agama, akibat ia ditentang oleh orang Melayu, penduduk asal negara ini yang merasa marah.

Ia juga tidaklah sebagaimana gerakan Malayan Union yang mahu menghapuskan dan menggugat kedudukan Raja-raja Melayu, hasil daripada buah fikiran British yang sedap menyedut hasil kekayaan kita. Semua gerakan-gerakan itu adalah gerakan batil yang tidak boleh kita terima sama sekali di tanah bertuah ini.

Idea Presiden PAS dalam Langkah Sheraton ini, telah diterima oleh semua pimpinan BERSATU, BN dan sebahagian PKR. Mereka ini termasuklah Tun Mahathir, politikus terlama dan paling berpengalaman. Semua pimpinan ini tidaklah bodoh untuk menerima tanpa kajian dan apa keuntungan. Jadi, matematik politik yang amat mudah kita gunakan, cadangan Presiden PAS ini sangat baik dan tidak menyalahi Perlembagaan, sebab itu ia diterima pimpinan utama parti-parti itu, termasuk Yang di-Pertuan Agong juga.

Rasulullah dahulu juga pernah dituduh sebagai penggugat kestabilan kerana dengan kehadiran Baginda ke Madinah, secara langsung turut mengambil alih jawatan ketua negara daripada Abdullah bin Ubai. Abdullah yang ketika itu, sedang dalam persiapan untuk ditabalkan menjadi orang nombor satu Madinah. Lalu Baginda dituduh pengacau perampas kuasa. Dan di sebalik tuduhan itu, Madinah kemudiannya menjadi pusat pemerintahan Islam dengan berjaya menawan negara-negara kuasa besar waktu itu.

Semua orang gembira kerana dengan kehadiran Rasulullah itu, Madinah lebih berjaya dan stabil selepas itu. Hanya kaum munafik pimpinan Abdullah bin Ubai sahaja yang mendakwa Madinah semakin terancam, semuanya yang berkaitan Rasulullah adalah negatif. Dan oleh kerana dendamnya, Abdullah kemudiannya mengadakan satu pakatan yang penuh harapan, dengan musuh Islam, agar Rasulullah dan Islam dihapuskan, sedangkan dia telah berjanji akan menurut Rasulullah.

Jadi selepas PH jatuh, negara kita menjadi semakin stabil. Kita tiada masalah yang besar, ditambah lagi ancaman COVID-19 juga telah berlalu. Tabung Haji tabung kewangan bagi umat Islam itu mencatatkan keuntungan. Raja-raja tidak lagi dihina, kedudukan Melayu diperkukuhkan, kaum lain tidak diganggu, kebencian terhadap Islam dikawal dengan tindakan-tindakan yang sesuai diambil bagi pembencinya.

Rasulullah membawa Islam bersama Baginda sewaktu berhijrah, lalu mempraktikkannya, menjadikan kaum Aus dan Khazraj yang dahulunya berkelahi, semakin dihormati. Apa yang Rasulullah buat, Presiden PAS cuba ikut. Apa sahaja yang boleh membawa kebaikan maksima kepada Islam dan umatnya, PAS akan laksanakan. Gelarlah langkah apa sekalipun, jahat macam manapun, PAS akan terus melangkah ke arah itu, kerana ia memberi kebaikan kepada Islam. PAS tidak tersasul dengan tindakan hanya kerana musuh yang melabelkannya. Apatah lagi ia adalah musuh Islam.

Adakah dalam pakatan mereka, selain daripada kafir, pembenci Islam, penyokong LGBT, penipu, perasuah, juga terdapat munafik sebagaimana Abdullah bin Ubai itu? Kalau begitu, ramai jugalah kumpulan dalam pakatan mereka.

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 24/10/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -