‘Kita angkat program agama setapak ke hadapan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kita angkat program agama setapak ke hadapan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

- Advertisement -

Justeru, ujarnya segmen tadabbur pada Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 kali ini digabung jalin dengan penggunaan teknologi augmented reality (AR).

“Kita mahu menarik minat anak-anak muda untuk menghayati Al-Quran,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua petugas penyiaran JAKIM-RTM, TV Alhijrah, Radio RTM dan semua petugas media.

Menurutnya, sebelum bermula siaran langsung malam tadi, beliau sempat berziarah team belakang tabir Penyiaran JAKIM (Seksyen TV, Radio), bilik media termasuk para hakim.

Katanya, pasukan teknikal dan petugas media sepenuh masa bertugas, berjauhan seketika dengan isteri, suami dan anak-anak demi melaksanakan tugasan yang terbaik.

Tambahnya, mereka bersengkang mata dari siang hingga malam dan tidak cukup tidur untuk bekerja.

“Kita menonton siaran langsung sekitar 2 jam 30 minit, tetapi persiapan mereka, pasti bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik kepada penonton. Besar pengorbanan mereka. Kagum dengan kalian semua.

“Allah jua membalas jasa bakti kalian semua. Kalian adalah pejuang meninggikan Al-Quran. Allah SWT sebaik-baik pemberi ganjaran,” ujarnya lagi.

Pada malam tadi, seramai enam qari dan dua qariah memperdengarkan bacaan yang terdiri daripada Hamwi dari Syria, Mohamed Zubaid Barday (Afrika Selatan), Abdullah Asam Hasan (Kuwait), Sos Sansari  (Kemboja), Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Malaysia), Monjur Ahmed (India), (Dayangku Siti Ummi Syazana Pangiran Marzuki (Brunei) dan Aishath Leese Auraf Faroog (Maldives). – HARAKAHDAILY 24/10/2022

- Advertisement -