Ribuan rakyat Kelantan solat hajat pertahan kerajaan PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV sendat dengan ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat bagi mempertahankam kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

- Advertisement -

Solat hajat diimamkan Penasihat Persatuan Pondok Kelantan Sheikh Wazir Che Awang dan bacaan doa diketuai Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Program itu diadakan sempena sambutan 32 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diadakan bermula Rabu sehingga esok.

Sheikh Wazir berkata, umat Islam hendaklah bersatu padu dan melupakan perpecahan hanya kerana kepentingan peribadi.

“Perpecahan umat Islam dibimbangi akan diambil kesempatan pihak lain yang sudah lama mahu memecahkan perpaduan umat Islam.

“Oleh itu kami meminta parti-parti orang Islam hendaklah bersatu bagi mempertahankan Islam,” katanya ketika berucap pada Himpunan Penyatuan sempena program tersebut malam ini.

Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Lebih 10,000 rakyat Kelantan hadir pada program biarpun dalam keadaan hujan lebat sebaik sahaja selesai solat hajat. – HARAKAHDAILY 21/10/2022

- Advertisement -