Rakyat Malaysia di luar negara, daftar dan undilah untuk kesejahteraan negara

- Advertisement -

TANGGAL 19 November 2022 adalah ‘tarikh keramat’ buat rakyat Malaysia kerana telah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bahawa tarikh tersebut adalah hari mengundi buat seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas samada di dalam mahupun di luar negara.

- Advertisement -

Ia adalah bersempena Pilihan Raya Umum ke 15 di mana seluruh warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas ‘berkuasa’ untuk memilih calon pemimpin dan parti-parti politik yang berintergriti, telus, jujur dan amanah sebagai kerajaan samada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk mentadbir negara mahupun negeri.

Maka pada hari Khamis 19 Oktober yang lalu dengan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Luar Negara PAS Pusat, Dato Yahaya Ali, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd. Nasir Daud dan Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Mohd. Khidhir Izaidin.

Selain mengadakan kunjungan hormat di samping meninjau perkembangan persiapan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dalam menghadapi pilihan raya umum terutamanya ketika negara berhadapan dengan musim tengkujuh, antara perkara utama yang dibangkitkan adalah pendaftaran undi pos untuk rakyat Malaysia bakal mengundi di luar negara.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah rakyat Malaysia di luar negara yang telah mendaftar untuk undi pos hanyalah sebanyak 17,000 orang sahaja sehingga 19 Oktober 2022 yang mana diketahui jumlah rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara berumur 18 tahun ke atas adalah melebihi daripada jumlah tersebut.

Oleh yang demikian adalah disarankan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang layak untuk mengundi agar mendaftarkan diri sebagai pengundi pos sebelum tarikh tutup pada 23 Oktober 2022 atau menghubungi Kedutaan Malaysia di negara pemastautin untuk mengetahui proses atau prosedur untuk mendatar sebagai pengundi pos mahupun proses pengundian pada hari mengundi.

Kita sebagai rakyat Malaysia pada hari mengundi ‘mempunyai kuasa’ untuk merubah masa depan, haluan dan kepimpinan negara mahupun negeri dengan mengundi calon pemimpin mahupun parti politik yang mempunyai halatuju yang jelas untuk mentadbir negara dengan penuh semangat dan keazaman yang mampu membawa manfaat dan kebaikan kepada segenap lapisan masyarakat.

Namun demikian, ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang mengambil keputusan untuk tidak mengundi dengan alasan politik itu kotor, semua parti politik adalah sama sahaja, undi langsung tidak mengubah keadaan, demokrasi adalah amalan barat, rasuah tetap berleluasa dan sebagainya.

Jika kita ‘beralasan’ untuk tidak mahu mengundi, berkemungkinan kita membiarkan orang yang tidak bertanggungjawab, tidak mempunyai intergriti, tidak amanah dan tidak telus untuk berkuasa yang mungkin akan memberikan implikasi yang buruk terhadap rakyat mahupun negara.

Dalam erti kata lain, kita sebenarnya turut bertanggungjawab ‘membiarkan’ rakyat dan negara berterusan dilanda musibah dan dirundung malang dengan memberikan peluang seluas-luasnya kepada golongan sedemikian untuk mentadbir negara.

Oleh itu, jalankanlah tanggungjawab sebagai pengundi dengan mengundi dan pilihlah calon pemimpin mahupun parti politik yang mempunyai kelayakan, amanah, jujur, telus dan berintergriti, yang paling utama mestilah berakhlak, beriman dan bertaqwa. Usah dipilih golongan yang sesat dan salah dan mengundi golongan yang tidak sepatutnya.

Ingatlah, segala kepercayaan, percakapan, hatta pekerjaan seseorang pasti akan dihisab dan dipertanggungjawabkan pada Hari Akhirat kelak, sama ada hubungannya dengan Allah SWT mahupun sesama manusia dan makhluk yang lain.

Hal ini termasuklah dalam soal pengundian dan pemilihan kepimpinan negara. Baik seseorang itu turun mengundi ataupun tidak, semuanya direkodkan dalam catatan amal malaikat dan berada di bawah penilaian Allah SWT.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi agar menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan memilih pemimpin mahupun parti politik yang benar-benar layak untuk memimpin dan mentadbir, yang mampu menunaikan janji, amanah dan tanggungjawab baik kepada rakyat mahupun Allah SWT.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia terutamanya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh kerana sudi menerima kunjungan rombongan kami.

Mudah-mudahan hasil perbincangan dan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia akan memudahkan lagi urusan pengundian buat rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Ingat 19 November, undi Perikatan Nasional

Malaysia Sejahtera.

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 22/10/2022

- Advertisement -