Peranan murabbi ummah pandu kejayaan dunia akhirat

- Advertisement -

SAYA ingat lagi masa anak saya kecil, ketika ada satu perkara yang saya kata pada anak saya perkara yang dikongsi oleh ustaznya masa sekolah rendah dulu. Saya berpendapat lain sedikit daripada ustaznya ketika, tidaklah perkara besar, cuma yang menariknya, walaupun saya seorang ustaz, tapi anak saya tetap berpegang dengan apa yang ustaznya cakap. 

- Advertisement -

Itulah besar dan pentingnya peranan hadirin yang hadir semalam, dalam Majlis Multaqa Murabbi Ummah, yang dihadiri oleh Guru KAFA, Imam, Takmir, Siak, Bilal dan Guru Takmir di seluruh Negeri Selangor. 

Hakikat yang kita perlu sedar, anak bangsa kita sekarang ini sangat dahagakan agama yang memandu mereka untuk berjaya dunia akhirat. 

Rujukan mereka paling dekat, semua yang hadir dalam program ini. Dan inilah maksud Murabbi Ummah. Peri pentingnya kita dalam memastikan masyarakat dan anak kita mendapat didikan agama yang tepat dan mampu menghayati secara mendalam sehingga mereka sedar Allah itu Maha Dekat dengan kita semua. 

Kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para Murabbi Ummah dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat. Peranan hadirin yang hadir semua amatlah besar dalam meneruskan kesinambungan tugas para Nabi dan Rasul, menyebarkan ajaran Islam di dunia ini di samping membentuk umat manusia dengan akhlak dan adab yang tinggi.

Dalam mendepani dunia tanpa sempadan hari ini, pelbagai maklumat dan informasi boleh diakses dengan bebas. Peranan tuan-puan semua amat penting untuk memandu serta membimbing masyarakat agar berpegang teguh kepada kefahaman Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah. Perkara ini amat mustahak untuk menyelamatkan masyarakat daripada sebarang doktrin yang boleh membawa penyelewengan fahaman aqidah, syariah serta akhlak.

Penganjuran program Murabbi Ummah ini amat saya harapkan dapat menterjemahkan semangat kesatuan para penggerak dakwah demi kemaslahatan umat Islam. Semoga usaha kita ini sentiasa diberkati dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Akhirnya, syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan seluruh agensi Persekutuan dan Negeri Selangor yang bekerjasama erat dalam penganjuran Multaqa pada kali ini.

YB SENATOR DATUK USTAZ IDRIS AHMAD – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -