Messi pilih Perancis dan Brazil menang Piala Dunia

Lionel Messi
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Kapten Argentina, Lionel Messi, menamakan juara bertahan, Perancis dan Brazil, sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia di Qatar kerana mempunyai kumpulan teras pemain yang bermain bersama sejak sekian lama.

Messi berkata, Brazil, Jerman, Perancis, England dan Sepanyol, sentiasa dilabelkan sebagai pilihan untuk menang, tetapi penyerang berusia 35 tahun itu merasakan Perancis dan Brazil sebagai dua pasukan terbaik yang akan beraksi di kejohanan mulai 20 November hingga 18 Disember ini.

- Advertisement -

“Kami selalu mengatakan pasukan hebat yang sama… tetapi jika saya perlu memilih, Brazil dan Perancis adalah dua calon hebat untuk memenangi Piala Dunia,” kata Messi.

“Mereka mempunyai kumpulan (pemain) yang sama untuk masa yang lama, bekerja dengan baik. Perancis, selain Euro terakhir apabila mereka tersingkir (dalam pusingan 16 terakhir) dan melakukan dengan teruk, mereka mempunyai beberapa pemain yang mengagumkan.

“Mereka mempunyai idea yang jelas dan jurulatih yang sama (Didier Deschamps). Brazil agak sama (di bawah Tite).”

Messi tidak menyebut Argentina yang tidak tewas dalam 35 perlawanan, sebagai antara pasukan pilihan walaupun pasukan Lionel Scaloni memenangi Copa America tahun lalu dengan menewaskan Brazil di final.

Namun Argentina baru-baru ini, berdepan masalah kecederaan membabitkan pemain utama, Paulo Dybala dan Angel Di Maria.

Scaloni menyifatkan kepadatan jadual perlawanan bola sepak kelab pada Oktober sebagai mengerikan dan menggesa pemainnya pemain seperti biasa berikutan sesetengah pemain terlalu berhati-hati kerana bimbang mengalami kecederaan menjelang Piala Dunia.

“Kami berada pada tahap yang agak sukar. Pemain beraksi banyak perlawanan. Mungkin ada masalah kerana terdapat kecederaan dan penggantungan. Ia adalah sebahagian perkara biasa menjadi pemain elit dan pemain pasukan kebangsaan.

“Saya bimbang, tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan. Saya percaya bahawa pemain ke padang untuk bermain dan tidak memikirkan apa yang akan berlaku kerana ia boleh memudaratkan. Biarkan mereka bermain secara semula jadi,” kata Scaloni.

Argentina akan menentang Emiriah Arab Bersatu pada November dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum menuju ke Piala Dunia dengan bermain perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Arab Saudi pada 22 November. Mexico dan Poland adalah pasukan lain dalam kumpulan ini.

- Advertisement -