Negeri di bawah teraju PAS tidak bubar DUN

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

TUMPAT:
PAS tetap dengan pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri di bawah pentadbiran parti itu biar pun wujud desas desus pembubaran parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata penggal pemerintahan kerajaan genap lima tahun menjelang bulan Mei tahun hadapan.

Katanya keputusan itu merupakan hasrat PAS sejak dahulu lagi iaitu tidak akan membubarkan DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Setakat ini kita buat keputusan tiga negeri tidak akan bubar sekiranya parlimen dibubarkan tahun ini, jadi kita tidak akan bubar DUN di negeri terbabit.

- Advertisement -

“Kita akan bubar tahun depan kecuali parlimen bubar tahun depan. Kita masih ada masa masih panjang sehingga Mei tahun depan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika ditemui media selepas perasmian Pusat Komuniti Tumpat di Jalan Pasar Hilir Tumpat di sini hari ini.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat, Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Hilmi Abdullah dan Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah.

Mohd Amar berkata, kerajaan ada masa panjang untuk fokus isu ekonomi serta kenaikan kos sara hidup rakyat ketika ini.

Malah kata beliau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan di hujung tahun kerana musim tengkujuh.

“Kalau bubar sekarang kemungkinan akan terlibat dengan banjir. Pengalaman kita di Kelantan sentiasa berhadapan dengan banjir di banyak tempat.

“Fokus kerajaan perlu ditumpukan usaha pemulihan ekonomi membantu rakyat bukan fokus hendak adakan pilihan raya sahaja,” katanya.

Semalam Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiga di negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan membubarkan Dun tahun ini.

Selain itu Sabah juga mengumumkan tidak akan membubarkan Dun kerana tempohnya masih panjang. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -