Kadar cukai pintu rumah kediaman 0 peratus di Terengganu

Dato’ Dr Alias Razak
- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KUALA TERENGGANU:
Perkara pertama dilaksanakan kerajaan PAS Terengganu selepas diberi mandat rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 iaitu mengecualikan bayaran cukai pintu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, perkara itu tidak rumit untuk dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan bidang kuasa kerajaan tempatan.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri melaksanakan manifesto tersebut dalam tempoh singkat. Dan kadar cukai pintu rumah kediaman sekarang iaitu 0 peratus.

“Ini bermakna rakyat tidak perlu bayar. Kehilangan sumber daripada cukai pintu kerajaan negeri terpaksa tambah bajet lain kira-kira RM14 juta setahun bagi mengurus berkaitan kebersihan,” katanya di sini.

Dr Alias bagaimanapun berkata, pelaksanaan manifesto lain mengambil masa kerana melibatkan banyak pihak.

Contohnya kata beliau pelaksanaan air percuma terpaksa mengambil masa kerana ia berkaitan dengan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Begitu juga Kad Sejahtera yang menawarkan rawatan percuma di klinik swasta tertentu kepada penduduk yang layak.

“Kita kena deal dengan klinik mana yang hendak bersedia menggunakan kad tersebut. Malah semasa kertas cadangan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan ketika di bawah Pakatan Harapan (PH) mereka tidak setuju.

“Ini kerana ia membabitkan implikasi kewangan. Bagaimanapun selepas bertukar kerajaan di bawah Perikatan Nasional akhirnya program itu diluluskan,” ujarnya.

Kata beliau program Kad Sejahtera mendapat kelulusan kerajaan PN dalam tempoh yang singkat.

Lagi pun katanya segala bil rawatan penduduk yang menggunakan Kad Sejahtera dibayar kerajaan negeri.

Terengganu memperkenalkan Kad Sejahtera sebagai inisiatif kerajaan PAS untuk membantu golongan kurang mampu untuk mendapat rawatan di klinik swasta terpilih.

Pada peringkat awal kerajaan negeri menyasarkan seramai 20,000 golongan sasar menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10.9 juta setahun. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -