Pendidikan kanak-kanak berasas metode al-Quran

- Advertisement -

Dalam pengalaman berhadapan dengan manusia pelbagai umur sebatas umur yang ada, saya paling meminati segmen berkomunikasi dengan kanak-kanak.

- Advertisement -

Kanak-kanak 4 hingga 11 tahun, fatrah yang paling menarik bagi saya. Mereka sangat jujur. 

Dalam berinteraksi dengan mereka, sememangnya memerlukan seni dan uslub yang tepat. Li kulli maqam, maqal.Kaedahnya.

Di sini disenaraikan beberapa metode pendidikan kepada kanak-kanak yang diajarkan al-Quran yang telah saya kumpulkan dari penulisan kajian-kajian yang ada. Moga bermanfaat buat para pendidik.

Metode al-Quran

Jika diteliti dengan mendalam, al-Quran mengajarkan kaedah yang sangat berhikmah berkaitan seni pendidikan kanak-kanak.

Seperti dewasa, Allah mendidik kita ada yang berbentuk teguran secara langsung dengan cara keras mahupun lembut, ada berbentuk pertanyaan, sindiran, ada pula janji-janji balasan baik dan buruk dan banyak lagi.

Seperti yang disebutkan dalam surah an-Nahl, ayat 125. Hikmah.

Mestilah dilakukan menurut keperluan situasi dan juga keadaan setiap individu. Tidak semua sama caranya.

Misalnya, bagi kanak-kanak yang sukakan perbahasan, ia mesti dilakukan dengan wajah yang tenang, belas, lemah lembut dan tutur kata yang baik.

Pertama: Kaedah pendidikan langsung

Dalam al-Quran menitik beratkan pendidikan langsung iaitu:

1. Contoh tauladan.

Sepertimana yang diceritakan dalam surah Luqman, ayat 12-19. Seorang ayah yang memberi nasihat kepada anak-anaknya:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَيَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ

“(Ingatlah) ketika Luqman menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

(Luqman: 13)

Di sini satu bahagian yang paling memberi kesan dan banyak manfaatnya dalam membentuk peribadi kanak-kanak.

Sekiranya pendidik merupakan orang yang benar dan soleh, maka soleh juga kanak-kanak tersebut. Jika pendidik bersikap khianat, maka kanak-kanak tersebut terbiasa dengan sifat tersebut.

2. Balasan baik dan buruk.

a. Memberi galakan.

Lihat bagaimana al-Quran mengajarkan apabila anak melakukan kebaikan, maka pendidik boleh memberikan ganjaran dalam bentuk yang sesuai. Sepertimana bapa Nabi Yusuf A.S bersedia memohon keampunan Allah untuk adik-beradik Nabi Yusuf A.S setelah mereka insaf terhadap kesalahan yang telah dilakukan:

قَالُواْ يَٰٓأَبَانَا ٱسۡتَغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَآ إِنَّا كُنَّا خَٰطِـِٔينَ.

قَالَ سَوۡفَ أَسۡتَغۡفِرُ لَكُمۡ رَبِّيٓۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Mereka berkata: ‘Wahai ayah kami! Mohonlah keampunan bagi kami terhadap dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah’. Yaakub berkata: ‘Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’..”

(Yusuf: 97-98)

Apabila seorang kanak-kanak berusaha dengan segala kepayahan dari melakukan perkara yang dilarang, mahupun berusaha melaksanakan perkara yang baik, maka kesungguhan itu perlulah diraikan bersesuaian dengan kemampuan dan usaha kanak-kanak tersebut lakukan.

Boleh juga kegembiraan itu dilahirkan dalam bentuk seperti doa, kata-kata pujian dan sebagainya. 

Namun mestilah dengan kadar yang bersesuaian dan bukan berlebihan. Kerana kanak-kanak mungkin menjadi seorang yang angkuh sekiranya pendidik salah cara dalam memuji.

b. Memberi hukuman, sindiran dan ancaman.

Kisah antara bapa Nabi Yusuf A.S dan adik beradik Nabi Yusuf A.S memperlihatkan bagaimana tatacara memberi ancaman kepada anak-anak:

قَالَ لَنۡ أُرۡسِلَهُۥ مَعَكُمۡ حَتَّىٰ تُؤۡتُونِ مَوۡثِقٗا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأۡتُنَّنِي بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُمۡۖ فَلَمَّآ ءَاتَوۡهُ مَوۡثِقَهُمۡ قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٞ

Yaakub berkata: ‘Aku tidak sama sekali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepung dan dikalahkan oleh musuh’. Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, dia berkata: ‘Allah jualah yang menjadi saksi dan pengawas atas apa yang kita semua katakan itu’.”

(Yusuf: 66)

Ayat ini merupakan asas kepada adanya denda dan jaminan apabila berlaku sesuatu perkara.

Sebelum melakukan denda dan ancaman, bapa Nabi Yusuf terlebih dahulu memberi penerangan mengenai sikap buruk adik beradik Nabi Yusuf yang menyebabkan mereka tidak dipercayai (ini ketika mereka mengabaikan Yusuf A.S suatu ketika dahulu sedangkan mereka sudah berjanji untuk menjaganya), dengan harapan agar sikap tersebut tidak diulangi. 

Kaedah ini perlu dijadikan panduan dan contoh kepada pendidik untuk mendidik kanak-kanak menjadi manusia yang bertanggungjawab dan bertaqwa.

Walaupun ancaman bukanlah sesuatu yang kita sukai, namun sedikit hukuman diperlukan pada waktu tertentu untuk memberi pengajaran kerana jika dibiarkan boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain.

Hukuman juga perlu dilakukan secara berperingkat iaitu bermula dengan yang ringan kemudian barulah kepada yang lebih berat. Sepertimana diajarkan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud:

Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak solat) ketika mereka berusia 10 tahun.” 

(Riwayat Abu Daud)

Abdullah Nasih Ulwan menyebutkan, hukuman berbentuk pukulan merupakan pilihan terakhir di dalam Islam selepas menasihati, memberi tunjuk ajar dan tidak mempedulikan kanak-kanak untuk seketika.

3. Nasihat dan bimbingan.

Rasulullah S.A.W menjadikan kaedah nasihat dan bimbingan sebagai kaedah yang paling banyak digunakan sepanjang dakwah Baginda S.A.W.

Nabi S.A.W amat mementingkan nasihat dan bimbingan, walau di mana pun. 

Malang sekali sekiranya kanak-kanak yang tidak sentiasa dinasihati dan dibimbing lalu dimarahi dan dihukum kerana melakukan kesilapan. Sedangkan pendidik yang gagal menasihat dan membimbing kanak-kanak tersebut.

Kedua: Kaedah pendidikan tidak langsung.

1. Penceritaan.

Islam menyedari sifat semulajadi manusia yang suka mendengar cerita dan pengaruhnya sangat besar terhadap perasaan. Terlebihnya kanak-kanak.

Oleh itu, al-Quran mendatangkan cerita sebagai satu teknik pendidikan. Sepertimana disebutkan Al-Quran:

نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ

“Kami menceritakan kepadamu (wahai Muhammad) sebaik-baik cerita dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu sedangkan sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, termasuk dalam golongan orang yang tidak mengetahui.”

(Yusuf: 3)

Kaedah ini boleh disampaikan kepada kanak-kanak dengan ekspresi wajah dan variasi suara mengikut kesesuaian cerita akan sangat dapat menarik perhatian mereka untuk menghayati cerita tersebut.

Kisah ini bukan hanya sebagai penglipur lara semata-mata. Ia menggalakkan untuk berfikir dan mengembangkan imaginasi untuk berpraktikal.

2. Perbandingan dan perumpamaan.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٞ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥٓۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن يَخۡلُقُواْ ذُبَابٗا وَلَوِ ٱجۡتَمَعُواْ لَهُۥۖ وَإِن يَسۡلُبۡهُمُ ٱلذُّبَابُ شَيۡـٔٗا لَّا يَسۡتَنقِذُوهُ مِنۡهُۚ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلۡمَطۡلُوبُ

Wahai umat manusia, inilah satu perumpamaan, maka dengarkannya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru selain daripada Allah itu, tidak sama sekali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk menciptanya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), alangkah lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya), dan alangkah lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

(Al-Hajj: 73)

Sepertimana Allah mendatangkan perumpaan bagi menggambarkan keadaan kita yang lemah. Kelemahan manusia tersebut disamakan dengan ketidakmampuan kita mencipta walau seekor lalat sekalipun. 

Cara ini amat sesuai bagi mendidik kanak-kanak. Rasulullah S.A.W juga menggunakan kaedah yang sama, sepertimana kebanyakan Hadis Nabi menggunakan perumpamaan yang bermaksud:

Perumpamaan rumah yang disebutkan nama Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebutkan nama Allah ialah seperti orang yang hidup dengan orang mati.”

(Sahih Muslim)

3. Amalan dan praktikal.

Didikan bukan terhenti setakat suruhan untuk mengerjakan sesuatu, namun mestilah dilaksanakan secara praktikal.

Sepertimana Nabi S.A.W menggalakkan para Sahabat mendidik ahli keluarga mereka mempraktikkan ibadah bersama-sama ahli keluarga.

4. Pemerhatian dan pengawasan.

Kelalaian mengawasi sejauh mana pendidikan tersebut berkesan atau tidak, dan tiada teguran atas kesilapan mereka ketika mempraktikkan apa yang mereka pelajari. Mereka akan menganggap apa yang dilakukan betul, wajar dan perlu.

Sepertimana yang diajarkan Nabi S.A.W yang bermaksud:

Umar bin Abu Salamah R.A berkata: Aku pernah berada dibawah jagaan Rasulullah S.A.W. Ketika waktu makan, tanganku terhulur hendak menjangkau talam, lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadaku: “Wahai anak muda! Bacalah Basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan mulakan dengan makanan yang terdekat denganmu.”

(Sahih Muslim)

Pendidikan al-Quran adalah pendidikan terbaik

Sungguh banyak ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan sumber utama pendidikan kanak-kanak.

Islam jugalah yang asal-asal amat menitik beratkan soal tarbiyah dan ta’dib. Bahkan al-Quran jugalah sebaik-baik pendidikan kepada jiwa manusia, tidak mengira umur, kanak-kanak mahupun dewasa.

Semoga Allah merahmati para pendidik dan diberikan kemahiran dan kemampuan untuk mendidik umat.

Moga Allah berkati kita.

AINNUR UKHTA UWAIS
Seorang pendidik yang masih dididik – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -