400 laman sesawang pedofilia, pornografi disekat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak berjaya disekat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) setakat Ogos lalu.

Tindakan itu melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan SKMM adalah usaha untuk mewujudkan medium tindakan sekatan terhadap media sosial yang tidak selamat dengan lebih cepat.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerajaan berusaha dengan pelbagai cara untuk membendung jenayah pedofilia dan pornografi kanak-kanak melalui media sosial.

Bagaimanapun, katanya usaha itu bukan semata-mata tanggungjawab kementerian, malah perlu ditangani bersama oleh ibu bapa, keluarga dan komuniti.

“KPWKM juga memperkukuhkan usaha menangani isu ini melalui kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak).

“Kita juga mengadakan forum melalui program media untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai pengaruh media sosial,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul meminta penjelasan KPWKM, iaitu sama ada kerajaan berpuas hati dengan usaha dan pencapaian setakat ini dalam membendung gejala pedofilia dan pornografi membabitkan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Menjawab persoalan itu, Siti Zailah berkata, KPWKM semestinya tidak berpuas hati selagi gejala dan jenayah berkenaan tidak dibanteras.

Menurutnya, antara pendekatan KPWKM untuk mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah melalui program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial.- HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -