Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Liverpool melupakan kekecewaan di Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Rangers 2-0 dalam Liga Juara-Juara untuk melompat ke tangga kedua Kumpulan A.
Kemenangan itu hasil sepakan percuma pada separuh masa pertama daripada Trent Alexander-Arnold dan penalti pada separuh masa kedua oleh Mohamed Salah, membolehkan Juara Eropah enam kali itu meraih enam mata selepas tiga perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu Napoli.
Kelab Scotland hampir tidak mengancam Liverpool, sekali gus mengecewakan peminat mereka yang cukup bersemangat, termasuk lengkap dengan pemain `bagpipe’, kekal di kedudukan terbawah kumpulan tanpa sebarang mata.
Liverpool yang memerlukan suntikan semangat selepas permulaan buruk di Liga Perdana, menampilkan empat pemain penyerang, Mohamed Salah, Diogo Jota, Luis Diaz dan Darwin Nunez, yang menyerbu Rangers sejak permainan bermula.
Juergen Klopp gembira dengan persembahan kemas dan meyakinkan Liverpool, walaupun menentang lawan yang jelas lemah, terutama gol pertama Alexander-Arnold, pemain yang sebelum ini dipertahankannya kerana prestasi kurang meyakinkan.
Alexander-Arnold yang peluangnya menyertai skuad Piala Dunia England kelihatan terancam selepas persembahannya yang mendapat kritikan baru-baru ini, melakukan sepakan percuma yang hebat melepasi penjaga gol Rangers, Allan McGregor pada minit ketujuh.
“Apa yang penting ialah persembahan untuk pasukan. Ia adalah permulaan yang perlahan untuk musim ini, tetapi saya menantikan baki musim ini,” kata Alexander-Arnold, yang mendapat tepukan gemuruh ketika dikeluarkan pada lewat permainan .
“Persembahan hebat pemain. Sabtu lalu, persembahan kami mengecewakan, tetapi bertentangan sepenuhnya hari ini,” katanya merujuk keputusan seri 3-3 Liverpool dan Brighton pada hujung minggu lalu.
Nunez mampu melakukan hatrik pada separuh masa pertama, namun McGregor melakukan empat aksi menyelamat berturut-turut menafikan cubaan penyerang Uruguay itu.
Kekecewaan itu berakhir apabila Salah menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-53 selepas Diaz dijatuhkan.
Pertembungan yang dipanggil “Perang Britain” juga menunjukkan jurang kualiti antara dua kelab utama di England dan Scotland.