Lagi wartawan mati dibunuh: Media Filipina tuntut perlindungan

Kumpulan media dan aktivis kebebasan akhbar di Filipina mengutuk pembunuhan wartawan radio, Percival Mabasa dan menuntut perlindungan kerajaan negara itu yang kini berada di bawah kepimpinan Presiden, Ferdinand Marcos Jr. (FOTO: Twitter@abarcacharie)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

MANILA: Kumpulan media dan aktivis kebebasan hak akhbar di Filipina menuntut perlindungan dan mengeluarkan kenyataan kecaman selepas seorang wartawan, Percival Mabasa maut ditembak berhampiran rumahnya di ibu negara itu. 

Penyiar radio berusia 63 tahun itu yang juga dikenali sebagai Percy Lapid, menurut kenyataan polis, telah dibunuh oleh dua penyerang tidak dikenali yang menaiki motosikal, di pintu pagar kawasan kediaman dalam kawasan Las Pinas, di pinggir bandar Manila pada malam Isnin (3 Okt) waktu tempatan, lapor Al-Jazeera

Dalam satu kenyataan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina pula berkata, pembunuhan Mabasa menunjukkan bahawa bidang kewartawanan kekal sebagai profesion berbahaya di negara itu.

Ahli keluarga Percival Mabasa tidak dapat menahan kesedihan atas kematian wartawan radio yang mati ditembak penembak curi pada 3 Oktober 2022. (FOTO: AFP)

“Kejadian yang berlaku di pinggir bandar Manila itu menunjukkan betapa kurang ajarnya si pelaku (pembunuh), dan pihak berkuasa gagal melindungi wartawan serta rakyat biasa daripada bahaya,” kata kesatuan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Mabasa telah mengkritik apa yang dilabelkan sebagai ‘tanda merah’ (atau isu sensitif di Filipina), dengan menuduh ‘seseorang’ sebagai ‘bersimpati’ dengan komunis serta terbabit dengan operasi perjudian dalam talian, dan maklumat salah mengenai undang-undang tentera.

Mabasa juga sebelum ini lantang mengkritik bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte serta dasar dan pegawai-pegawai yang dilantik dalam kerajaan penggantinya ketika ini, Ferdinand Marcos Jr.

Wartawan radio yang terkenal dengan nama Percy Lapid ini merupakan pengamal media terbaharu yang mati dibunuh di Filipina. (FOTO: rsf.org)

Tambah laporan itu lagi, keluarga Mabasa melabelkan pembunuhan itu sebagai ‘jenayah yang menyedihkan’ dan menuntut pembunuhnya yang pengecut dibawa ke muka pengadilan. 

Kumpulan hak asasi manusia Karapatan dalam pada itu menyifatkan Mabasa sebagai ‘salah seorang penyebar kebenaran paling berani di Filipina’.

Reuters pula melaporkan Timbalan Setiausaha Eksekutif Kanan, Hubert Guevara sebagai berkata kepada pemberita bahawa Pejabat Presiden Ferdinand Marcos Jr menyatakan kebimbangan terhadap pembunuhan terbaharu itu, dan pegawainya telah ditugaskan untuk menjalankan siasatan.

Seramai 32 wartawan diculik sebelum dibunuh beramai-ramai ketika menyertai konvoi di Maguindanao, di selatan Filipina pada 23 Nov 2009. (FOTO: BBC)

Pembunuhan Mabasa itu adalah susulan kejadian pada bulan lepas apabila wartawan radio, Rey Blanco mati ditikam di bahagian tengah Filipina.

Filipina mempunyai salah satu persekitaran media paling liberal di Asia, tetapi ia kekal sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk wartawan, terutamanya di wilayah-wilayah negara itu.

Menurut Badan Pemerhati Antarabangsa Reporters Without Borders, sekurang-kurangnya 187 pengamal media mati dibunuh sejak 35 tahun lalu di Filipina, termasuk 32 wartawan yang diculik sebelum dibunuh beramai-ramai dalam insiden yang dikenali sebagai ‘Maguindanao Massacre’ ketika menyertai satu konvoi di wilayah Maguindanao, di selatan Filipina pada 23 Nov 2009. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -