Pelabur tidak tertarik jika persekitaran kerja tidak sesuai

Che Alias Hamid
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelabur antarabangsa mungkin tidak tertarik untuk melabur di negara ini jika terlalu banyak kesatuan sekerja di tempat kerja sehingga mengganggu hubungan majikan, pekerja dan kesatuan sekerja.

Justeru, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, mencadangkan kerajaan mewujudkan satu anjakan paradigma dan garis masa dalam konteks kepelbagaian kesatuan sekerja.

Tindakan itu katanya supaya trasformasi yang bakal dilaksanakan mengikut garis masa yang sesuai dan bukannya secara drastik dalam melaksanakan pindaan ini.

“Kerajaan juga perlu mengeluarkan panduan ataupun penetapan syarat yang kondusif yang menjadi pusat dan rujukan kepada semua kesatuan sekerja.

“Sebagai contoh, jika ada ahli persatuan A ingin sertai persatuan B, mesti ada penetapan syarat-syaratnya untuk berlaku adil terhadap kedua-dua belah pihak,” katanya semasa membahaskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Che Alias lagi, kerajaan juga harus memikirkan cara untuk menarik lebih ramai pekerja terutama generasi muda yang kurang berminat untuk menyertai kesatuan sekerja dan turut serta dalam kesatuan sedia ada.

Selain itu katanya, kerajaan juga disaran memperbanyakkan bengkel, kursus, latihan atau program dengan kerjasama daripada pihak majikan.

Tindakan sedemikian kata Che Alias untuk mengukuhkan kesatuan sedia ada selain menyelesaikan permasalahan dan kelompangan dalam kesatuan sekerja di Malaysia.

“Kerajaan boleh menjadikan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia sebagai panduan dan contoh bagaimana kerajaan negara tersebut membantu kesatuan pekerja mereka dan ada yang mewujudkan kepelbagaian kesatuan based on industri.

“Bukannya mewujudkan pelbagai kesatuan yang jelas memberi kesan negatif yang bukan sahaja kepada para pekerja tetapi juga boleh memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau juga berharap kesatuan sekerja sedia ada dikukuhkan selain mencadangkan kerajaan melaksanakan pendekatan komprehensif dalam memastikan lebih ramai pekerja menyertai kesatuan sekerja, bukan mewujudkan kepelbagaian kesatuan secara drastik. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -