Banyak kesatuan sekerja dikhuatiri undang perpecahan

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kewujudan lebih daripada satu kesatuan sekerja yang mewakili satu bidang pekerjaan dibimbangi akan mengundang kepada perpecahan.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 akan memberi ruang kepada pihak dari kumpulan sama yang ingin berpecah dan membentuk kesatuan sekerja yang baru.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau memohon penjelasan jika Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan syarat dan kawalan ketat untuk meluluskan kesatuan kerja baharu.

“Adakah wujud syarat dan pengawalan ketat oleh kementerian bagi meluluskan pendaftaran kesatuan sekerja yang baharu bagi memastikan mereka yang ingin menerajui kesatuan sekerja ini betul-betul mewakili sesuatu golongan pekerja, bukannya berniat untuk bersaing dengan kesatuan sekerja yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain turut berpandangan kepelbagaian kesatuan bakal akibatkan pelbagai kesan negatif jika tidak diwujudkan elemen yang boleh mengawal kepelbagaian itu.

Katanya, antara kesan negatif ketara ialah perwakilan pekerja akan berpecah belah dan melemahkan suara pekerja itu sendiri.

“Di negara ini, kira-kira hanya enam peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pekerja yang menyertai kesatuan sekerja.

“Malangnya, apabila suara enam peratus ini tidak senada, maka secara logiknya mereka akan kehilangan suara yang kuat untuk memperjuangkan hak-hak pekerja,” katanya.

Selain itu katanya, atas nama kebebasan berkesatuan, situasi itu memberi peluang kepada majikan yang tidak bertanggungjawab untuk membina proksi majikan melalui kesatuan yang ditubuhkan.

Katanya, ia tidak mustahil berlaku apatah lagi jika wujud majikan yang hanya memikirkan keuntungan mereka sendiri tanpa memikirkan kebajikan pekerja. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -