Hanya Tuanku hero kami

- Advertisement -

SEMAKIN kuat bertiupnya angin berita pembubaran Parlimen yang dikatakan seawal Khamis ini. Lebih kencang angin ini melebihi tiupan monsun akhir tahun. 

Rakyat makin gelisah. Banjir makin tiba, bencana terbayang di kepala, pilihan raya pula menerpa. Siapa akan selamatkan rakyat hari ini daripada kegilaan mereka yang inginkan kuasa?

Selayaknya dan paling muktamad yang akan menaungi kesejahteraan seluruh rakyat jelata di negara ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Sahih. Itu sahaja.

Lain-lain pihak dilihat semakin bermain dengan nasib rakyat menjelang tibanya bencana banjir tidak lama lagi. Jangan kata rakyat biasa, ahli Umno sendiri pun tidak mampu mengharapkan parti keramatnya itu untuk menangguhkan dahulu pilihan raya selepas musim bah ini.

Perkara ini dilihat menjadi perkara lelucon dan sindiran awam apabila warganet menularkan beberapa poster yang tertulis ‘banjir ditangguhkan kerana memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum’. Ya ia lucu buat masa sekarang, tetapi tunggu sahajalah apabila awan gemawan gelap bawaan Monsun Timur Laut menaungi langit daerah tuan-tuan, diikuti turunnya butir butir hujan lebat melebihi beberapa jam, senyuman lawak itu akan segera hilang. Dahi berkerut, hati berdebar dan menunggu nasib sahaja.

Amaran awal


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. Monsun Timur Laut akan aktif pada tempoh itu dan mengundang risiko berlakunya hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar adalah tinggi.

Ini bukan Pak Mat orang Kg Bagan Datuk yang sebut, bukan juga pakcik pengayuh beca Kota Bharu yang cakap tetapi diumum oleh Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah. 

Katanya fenomena La Nina masih berterusan dan dijangka berlaku sehingga awal tahun hadapan dan sudah pasti menyebabkan peningkatan taburan hujan. Inilah yang menjadi asas kepada jangkaan banjir besar nanti. Ya ia hanya jangkaan, masih dikira boleh jadi atau tak jadi banjir besar, semuanya dalam rahsia Allah S.W.T. Cuma apa salahnya kita masing masing beringat dan bersedia?

Agong nasihat rakyat siap sedia hadapi kemungkinan banjir besar sejak 2021

Prihatin dan menyelami nasib rakyat. Itu peribadi KDYMM Tuanku dan diketahui umum. Pada 29 Disember 2021 Tuanku pernah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Selain itu, Baginda juga bertitah sebagai menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Tuanku juga menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

Itu semua nasihat Tuanku kepada rakyat pada akhir tahun 2021, tetapi ia terpakai sampai bila-bila. Tahun ini, tahun depan dan seterusnya. Nasihat yang cukup baik, harapan yang murni dari Baginda. Cuma mengapa Umno mahu menyusahkan rakyat sekiranya berlakunya banjir nanti? Mereka juga akan turut disibukkan dengan pilihanraya? Tidak fahamkah dengan nasihat nasihat Tuanku itu?

Keadaan mental dan fizikal mangsa banjir

Bencana banjir yang berlaku di lapan buah negeri termasuk Selangor dan beberapa daerah di Pahang serta Negeri Sembilan akhir 2021 dan awal tahun ini sudah tentunya memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang terlibat, termasuklah dari aspek psikologi.

Tragedi yang mengakibatkan kemusnahan besar harta benda itu telah meragut lebih kurang 50 nyawa, membuatkan ada mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut, trauma selain mengalami gangguan emosi dan mental.

Bernama pada 23 Disember tahun lepas melaporkan seramai 872 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah ditempatkan di tujuh negeri yang dilanda bencana banjir bagi tujuan membantu memulihkan emosi dan segala permasalahan dihadapi mangsa banjir yang trauma dengan musibah menimpa mereka.

Kesan psikologi yang paling ketara adalah kecelaruan stres akut (ASD), kecelaruan stres pasca trauma (PTSD) dan kecelaruan penyesuaian. ASD dan PTSD mempunyai ciri-ciri yang sama.

Gejala utama diklasifikasikan kepada gejala gangguan berbentuk gambaran berulang kejadian buruk atau mimpi ngeri kejadian, mengelak untuk bercerita mengenai bencana atau untuk pergi ke tempat kejadian, mood yang negatif termasuk murung dan terlalu beremosi, panik, mudah terkejut dan kadangkala berkelakuan seperti hilang ingatan dan kaku.

Ini semua adalah satu kondisi yang tidak memungkinkan mangsa dan keluarga mangsa banjir ini untuk berfikir dengan rasional, membuat pilihan parti mana yang selayaknya memimpin negara untuk tempoh lima tahun akan datang. 

Apatah lagi kiranya, pada hari mengundi itulah, air sedang naik, hujan tengah lebat, sungai sedang melimpah, orang kalut nak pindah, selamatkan nyawa, cari perlindungan anak dan isteri. Adakah kata kata ‘Barisan Nasional sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini’ akan laku pada waktu itu? 

Adakah laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 Pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa pada 17 September lalu akan mampu membantu rakyat dalam kekalutan banjir nanti? 

Berilah peluang

Rakyat tetap menaruh harapan kepada YAB Perdana Menteri, agar bertindak bijak. Tangguhkanlah dahulu hasrat untuk menghadap KDYMM Tuanku bagi mencadangkan pembubaran Parlimen. 

Semoga nantinya, rakyat dalam keadaan yang tenang dan selesa akan membuat keputusan untuk memilih siapa yang paling baik untuk memimpin negara lima tahun ke depan. 

Jika rakyat pilih Umno, maka itu pilihan mereka. Jika mereka benamkan Umno dek keputusan ini pun, masih menjadi hak mereka.

Namun biarlah rakyat berdepan monsun dahulu. Kemudian pilihlah mana yang bagus dan patut.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -