‘Strategi kita untuk beri keuntungan kepada agama’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Strategi kita bertujuan untuk memberi keuntungan kepada agama dan masa depan anak cucu kita,” kata Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau menyatakan susulan Majlis Makan Malam Dana Pilihanraya PAS Perak yang diadakan di Ipoh, malam tadi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria hadir pada majlis itu.

- Advertisement -

“Alhamdulillah cukup teruja dan bersyukur malam ini (tadi) dapat bersama dalam Majlis Makan Malam Dana Pilihanraya PAS Perak,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Menurutnya, apabila bercakap tentang pilihan raya, di sana ada rukunnya.

Tambah beliau, antara rukunnya yang pertama ialah jentera.

“Kalau tiada jentera kita boleh bersembang, tetapi untuk meraih kemenangan cukup sukar sehingga mustahil,” katanya.

Justeru, ujarnya PAS perlu menyediakan dan mempersiapkan kekuatan jentera yang ‘solid’ untuk menghadapi pilihan raya umum yang tidak lama lagi akan.

“Yang kedua dari sudut kewangan, oleh itu malam ini kita berhimpun untuk dapatkan wang kerana wang orang PAS dalam poket orang PAS,” tambahnya.

Menurutnya lagi, rukun ketiga ialah media di mana pada hari ini PAS berlawan melalui medium media.

Oleh itu, ujar beliau perlu ada orang-orang yang terkehadapan dalam media sosial untuk membawa suara PAS.

“Yang terakhir ialah strategi, strategi ini pimpinan yang membincangkan, jika strategi diberi tahu kepada umum, itu namanya tragedy,” katanya.

Beliau berkata, strategi PAS adalah bertujuan untuk memberikan keuntungan kepada agama dan masa depan anak cucu. – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -