PAS tidak akan putus asa damaikan Umno-BERSATU

Sulh Hudaibiyah antara Rasulullah dengan Quraisy jadi iktibar

- Advertisement -

IPOH: Sulh Hudaibiyah melibatkan perjanjian ditandatangani Rasulullah SAW dan pihak Quraisy merupakan peristiwa penting dijadikan ibrah oleh PAS dalam usaha penyatuan ummah melibatkan bersama Umno dan BERSATU.

Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menjelaskan, dengan perjanjian itu kabilah-kabilah yang ada bebas bernaung kepada dua pihak di mana kesan penting dari itu adalah tidak berlaku peperangan selama 10 tahun.

Perkara tersebut nyatakannya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya PAS Negeri Perak yang dilangsungkan dengan kehadiran sekitar 500 tetamu di Hotel Impiana, di sini malam tadi.

Beliau mengaitkan peristiwa besar tersebut dengan peranan PAS yang tetap teguh berusaha merealisasikan agenda penyatuan itu biarpun dilemparkan kritikan bermain di dua gelanggang.

“Ni kita nak baik dengan Umno orang Melayu orang Islam, satu. (Tetapi) Nak larang pula (PAS) tak bagi baik dengan BERSATU. (Sedangkan BERSATU itu) Melayu Islam juga.

“Jadi kerana itu saya rasalah, tuduhan kita main dua gelanggang itu makan masa panjang juga untuk kita sejukkan kes itu. Alhamdulillah sekarang ini mereka boleh terima, tapi sikit (usaha) terpaksa dicurahkan oleh kepimpinan bagi meredakan suasana itu.

“Apa yang saya nak katakan ialah kita bergerak ke arah Perpaduan Ummah. Jangan ada sesiapa pun yang merosakkan agenda Perpaduan Ummah ini dalam usaha kita untuk membentuk rakyat Malaysia tak kira bangsa dan kaum,” ujarnya.

Tegasnya, agenda penyatuan itu mesti melibatkan semua orang Melayu-Islam dan lain-lain kaum yang tidak ekstrem untuk bersama, namun perpaduan kepada semua itu perlu dimula dan dicontohkan oleh orang Melayu-Islam.

Jelasnya juga, agenda penyatuan ummah tersebut bukan rancangan peribadi Presiden PAS atau mana-mana pimpinan PAS, tetapi adalah tuntutan Allah SWT yang tercatat di dalam al-Quran sebagai perintah-Nya.

Menurut beliau, ia satu usaha dan pengorbanan yang PAS akan tetap teruskan tanpa berputus asa biarpun gagal pada PRU15 kali ini, akan dilangsungkan setelah itu sampai bila-bila.

Memperincikan perkara tersebut dalam sidang media selepas majlis itu, beliau mengimbas betapa kuatnya pertembungan PAS dan Umno sejak era 1960-an dahulu, namun pelbagai isu antara kedua parti reda dan hilang akhirnya.

Hinggalah katanya, PAS dan Umno telah memeterai Piagam Penyatuan Ummah pada 14 September dua tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur di mana sejak itu agenda tersebut tidak pernah ditutup.

“Adapun ini usaha kita. Setiap usaha itu tak semestinya kita mencapai kejayaan, hasil daripada usaha kita. Tetapi bagi PAS, kejayaan tu perkara kedua. Yang pertama, kita kena ada usaha. Kita kena buat, kita kena bekerja.

“Hasil dia, bukan kerja kita. Itu kerja lain. Kerja daripada Allah. Allah akan menilai kerja, bukan nilai hasil. Kita faham hat itu. Jadi sebab itu saya duk sebut kalau gagal hat ini, kita akan terus. Sebab penilaian Allah atas kerja, atas usaha, bukan atas hasil.

“Kita doakan bersama moga-moga usaha suci ini bagi perpaduan orang Melayu-Islam terutamanya dan juga rakyat seluruh negara warganegara Malaysia ini dilindungi oleh Allah dan diberkati segala usaha dan kita boleh hidup dalam keadaan aman dan baik.

“Kerana Islam mengajar kita dengan sifat-sifat mahmudah, sifat terpuji. Kalau kita jujur, kita ikhlas, kita beramanah, maka ganjaran yang Allah akan beri kat kita itu adalah yang mungkin kita tak sedar.

“Bukan sahaja orang Islam yang buat, orang bukan-Islam pun kalau dia buat, dia akan dapat ganjaran yang baik. Maka pentingnya sifat-sifat mahmudah ini diterapkan dalam masyarakat supaya kita boleh hidup dengan lebih sempurna, dengan yang lebih baik lagi,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -