City kejam mengganas, United malu besar

Erling Haaland melakukan hatrik ketiga dalam lapan perlawanan Liga Perdana
- Advertisement -

Erling Haaland dan Phil Foden, masing-masing menjaringkan hatrik untuk memastikan juara bertahan, Manchester City, membelasah musuh setempat, Manchester United 6-3 dalam aksi Liga Perdana, semalam.

City mempamerkan permainan lancar, tajam dan kejam dengan Haaland mencatat hatrik ketiganya dalam lapan perlawanan liga. Foden pula menjaringkan hatrik Liga Perdana pertamanya dalam perlawanan yang cukup memalukan United.

- Advertisement -

Selepas permulaan mengecewakan di bawah Erik ten Hag musim ini apabila mencatat kekalahan dalam dua perlawanan pertama, empat kemenangan liga berturut-turut memberikan harapan lebih baik. Namun City menyedarkan United realiti sebenar Liga Perdana.

Tiada pemain City yang menjaringkan hatrik menentang musuh ketat mereka sejak Francis Lee pada 1970. Namun dalam tempoh 90 minit, dua pemain melakar kejayaan itu.

“Kami menjaringkan enam gol, apa yang boleh saya katakan, ia menakjubkan. Menang di tempat sendiri, jaringkan enam gol, ia bagus.

“Anda boleh rasakannya sepanjang masa. Anda boleh lihat hantaran yang kami lakukan antara satu sama lain. Kami sentiasa mara ke depan dan menyerang. Itulah yang saya suka tentang pasukan ini,” kata Haaland.

Foden meraih gol pertama pada minit kelapan, menjadi pemain Inggeris pertama City menjaringkan gol dalam perlawanan setempat liga di tempat sendiri menentang United sejak 2006. Haaland pula menanduk masuk gol pertamanya pada minit ke-34.

Haaland bermain lancar dalam Liga Perdana dan pemain Norway itu sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-37 sebelum Foden menambah gol keempat tujuh minit kemudian.

Antony yang dibeli dengan mahal menjaringkan gol yang menakjubkan pada awal babak kedua untuk memberikan harapan kepada United bangkit semula. Namun Haaland merembat gol ke-17 pada minit ke-64 dalam musim yang luar biasa.

Foden melengkapkan hatrik Liga Perdana pertamanya pada minit ke-72 untuk memastikan City sukar dikejar dalam perlawanan ini. Berusia 22 tahun dan 127 hari, pemain antarabangsa England itu juga menjadi pemain termuda menjaringkan 50 gol di bawah kendalian Pep Guardiola.

Pemain gantian United, Anthony Martial memberikan dua gol sagu hati, satu melalui sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan lebih dihormati, tetapi jurang kemenangan tidak menceritakan kisah sebenar perbezaan antara kedua-dua belah pihak.

“Ia cukup mudah, ia adalah kurang keyakinan. Apabila anda tidak percaya di atas padang, maka anda tidak boleh memenangi perlawanan, ini tidak boleh diterima.

“Kami tidak berdisiplin untuk mematuhi peraturan dan dibelasah, itu yang berlaku hari ini,” kata Ten Hag.

Pasukan Pep Guardiola kini berada satu mata di belakang Arsenal yang masih mengungguli tangga teratas. United pula kekal di tempat keenam.

“Kesempurnaan tidak wujud, ia mustahil. Namun kami mesti cuba melihat di sana. Kami melakukan dengan baik dan boleh melakukan dengan lebih baik. Ramai pemain kurang kemas melakukan hantaran. Ini tidak bagus. Kami harus lebih konsisten. Dalam beberapa keadaan, kami masih tidak bagus.

“Sesetengah pemain tidak bagus hari ini. Mereka perlu perbaiki diri,” kata Guardiola.

- Advertisement -