PM yakin Bajet 2023 dapat sokongan ahli Parlimen

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yakin Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat ini akan mendapat sokongan Ahli Parlimen supaya ia dapat untuk diluluskan.

“Saya percaya bajet akan diterima sebab bajet ini untuk rakyat..kalau pembangkang tak setuju dengan bajet maknanya pembangkang tak setuju apa yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Advertisement

“Kalau bajet tak lulus dari segi emolumen bayar gaji kakitangan kerajaan pun tak boleh dibuat. Jadi bajet perlu diluluskan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14, di sini, malam tadi.

Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia menerima pandangan-pandangan daripada pihak pembangkang berkaitan dengan Bajet 2023.

“Bagaimanapun komen negatif dan sebagainya daripada pihak pembangkang itu memang dijangkakan seperti biasalah.

“Setiap kali bajet adalah pandangan-pandangan daripada mereka sama ada positif atau negatif dan kita terima. Biasanya pandangan-pandangan itu akan diambil kira oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat tadi ada membincangkan tentang pembubaran Parlimen, Ismail Sabri berkata hanya perkara berkaitan perjalanan Dewan Rakyat sahaja yang dibincangkan.

“Mesyuarat pramajlis ini membincangkan daripada segi pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengenai perjalanan Parlimen, berapa jumlah soalan-soalan yang ditanya, berapa jumlah berdasarkan kementerian, apa undang-undang yang akan dibentangkan, pindaan dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri tiba pada jam 8.30 malam untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut  selama 90 minit yang turut dihadiri Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Mesyuarat pramajlis itu diadakan bagi persediaan Sidang Dewan Rakyat yang akan bermula hari ini sehingga 29 Nov ini. – BERNAMA