Rasuah: Seorang lagi bekas YDP PBT didakwa esok

- Advertisement -

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang lagi bekas Yang Dipertua (YDP) sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Mahkamah Sesyen, di sini, esok.

Tertuduh yang juga merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik (PBT) berusia 48 tahun pernah berkhidmat di sebuah daerah di Selangor.

- Advertisement -

Menurut sumber, tertuduh dipercayai telah menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Pada 23 Sept lepas, dua bekas YDP iaitu YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, Shukri Mohamad Hamin, 49, dan YDP Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohamad Zain A Hamid, 48, serta seorang bekas Timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang Muhammad Hafiz Shaari, 43, masing-masing didakwa di mahkamah sama atas beberapa pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang tunai, tiket kapal terbang, basikal berjenama, wang untuk membeli kereta dan telefon pintar.

Turut dituduh, seorang juru ukur bahan MPKL Muhammad Asyraf Mohammad Jasni, 33, yang didakwa menerima rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 hingga November 2020.

Mereka yang masing-masing didakwa empat dan enam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.

Pertuduhan berkenaan adalah susulan daripada penahanan beberapa individu pada tahun lalu kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk sebagai dorongan pemberian projek kepada pihak tertentu. – BERNAMA

- Advertisement -