Kesedaran, cinta alam sekitar dipupuk sejak sekolah

- Advertisement -

PROGRAM Eksplorasi Alam Lestari kali ini diadakan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), Sungkai, Perak yang melibatkan 100 orang murid tahap 2 daripada 4 sekolah di kawasan rancangan FELDA.

Program anjuran KPM menerusi Yayasan Didik Negara (YDN) dengan kerjasama FGV Holdings Berhad (FGV) ini antara lain bertujuan memupuk kesedaran serta kecintaan murid terhadap alam sekitar sejak di peringkat awal persekolahan. Penerapan elemen harmoni dengan alam dan hidupannya juga diberi penekanan dalam pelaksanaan program ini.

Saya bersama anak-anak yang menyertai program tadi berpeluang mendengar penjelasan dan melihat sendiri hidupan liar seperti harimau, tenggiling, seladang, rusa serta burung merak. Jelas terpancar pada wajah anak-anak ini kegembiraan dan kasih sayang terhadap haiwan yang berada di PKHL. Bila ditanya pernah tak mereka datang ke sini, kebanyakannya menjawab tidak.

Insya-Allah, kami di KPM akan usahakan agar lebih banyak aktiviti ‘outdoor’ sebegini diadakan pada masa hadapan sebagai menyokong usaha Kerajaan untuk melestarikan alam sekitar selain memberi pendedahan mengenai kehidupan flora dan fauna kepada generasi muda.

Kerjasama yang baik antara KPM dan badan korporat atau pihak swasta pastinya akan membolehkan lebih ramai murid terlibat dengan program sebegini, sekaligus memberi manfaat kepada lebih ramai anak-anak generasi pewaris negara untuk turut serta.

Kepada anak-anak yang terlibat, pak cik harap pengalaman dan ilmu yang kalian perolehi tadi dapat dikongsikan dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan di sekolah.

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 29/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -