Ada apa dalam Bajet 2023 untuk belia negara?

- Advertisement -

Golongan belia di Malaysia dalam lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun merangkumi kira-kira separuh daripada jumlah populasi negara yang kini mencecah 32.7 juta.

- Advertisement -

Belia merupakan sumber tenaga yang penting bagi masyarakat negara ini kerana mereka merupakan agen utama dalam pembangunan negara mampan, perubahan sosial, pertumbuhan ekonomi, dan inovasi teknologi. 

Justeru, tidak syak lagi golongan yang boleh dilabelkan dalam golongan muda ini mampu menjamin pembangunan negara yang lebih kukuh, dengan semangat juang dan daya cipta yang tinggi, dan sahsiah yang mantap mereka ini mampu menjamin pembangunan negara yang lebih kukuh.

Sebagai tonggak harapan dalam menjana masa depan negara, golongan ini perlu disokong dan sudah tentu terkini adalah melalui Bajet 2023 yang akan dibentang menjelang 7 Oktober ini.

Mengimbas kembali peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM23 bilion –  jumlah terbesar dalam sejarah negara, ia secara umumnya memfokus terhadap kesejahteraan rakyat, membina daya tahan perniagaan akibat dari impak pandemik Covid-19, dan mewujudkan ekonomi yang makmur dan mampan.

Ketika itu, antara manfaat daripada Bajet 2022 kepada belia termasuklah inisiatif Perantisiswa, yang mana kerajaan memberikan tablet kepada pelajar B40, inisiatif e-pemula yang menjadi pemangkin perniagaan atas talian, inisiatif JaminKerja iaitu insentif penggajian dan usaha mengambil pekerja rentan.

Manfaat lain ialah inisiatif padanan caruman Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja sektor informal, dan pemberian geran pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu meningkatkan perniagaan secara atas talian. 

Di bawah Pakej Rangsangan, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah berjaya menghasilkan lebih 5,000 usahawan belia khususnya dalam  kalangan graduan. 

Secara rumusan, teras utama Bajet 2022 menyentuh aspek terpenting belia seperti mewujudkan pekerjaan, peningkatan kemahiran, latihan dan program pembiayaan usahawan. 

Namun begitu, adakah peruntukan yang diberikan kepada belia pada tahun lepas sudah  mencapai matlamatnya? Apakah yang  boleh dicadangkan untuk diperuntukkan kepada belia dalam Bajet 2023 pula?

Kekurangan pekerjaan

Pertama, boleh dikatakan masalah terbesar dalam kalangan belia ialah kekurangan peluang pekerjaan. 

Kita jangan lihat pada kadar pengangguran sahaja, tetapi kita juga kena lihat masalah ‘over-education‘ yang mana, sebagai contoh, graduan kejuruteraan tetapi bekerja  dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan yang dimiliki oleh graduan tersebut. 

Pelaburan masa, tenaga, dan kewangan graduan tersebut selama tiga hingga empat tahun di universiti untuk mendapatkan kemahiran itu tidak dapat dimanfaatkan. 

Contoh berkenaan  merupakan masalah ‘mismatch’ (tidak sepadan) yang semakin berleluasa dalam kalangan belia masa kini. 

Di manakah lompong dalam pasaran kerja yang menyebabkan banyak berlaku ‘over-education’ yang mana graduan mengambil peluang pekerjaan yang sepatutnya diambil oleh golongan bukan raduan, dan peluang bukan graduan untuk mendapatkan pekerjaan menjadi semakin tipis?

Keadaan ini mencapai ke paras membimbangkan apabila golongan remaja sekolah tidak lagi ingin menyambung pelajaran ke universiti untuk mengelakkan hutang pendidikan dan ketiadaan jaminan pekerjaan yang sesuai. 

Perkara ini patut menjadi agenda utama kerajaan untuk mengenalpasti apakah yang menyebabkan mismatch ini berlaku dan apakah usaha yang paling berkesan bagi memastikan graduan berkemahiran tinggi ini dapat digunakan untuk pembangunan negara.

Gaji bermaruah

Kedua, masalah ‘over-education’ disebabkan isu gaji minimum masih perlu diberi perhatian. Adakah belia kita malas sedangkan ramai belia tempatan yang sanggup bekerja di sektor 3D (dirty, dangerous, demeaning) di negara luar seperti mengutip sampah di Singapura, memetik buah di Australia, mahupun mencuci tandas di United Kingdom? 

Kalau kita cuba fahami mengapa mereka sanggup berhijrah ke negara luar untuk bekerja di dalam sektor ini, jawapannya cuma satu – gaji! 

Jika kita mampu berikan gaji bermaruah kepada belia tempatan,  pasti ramai dalam kalangan mereka yang sanggup bekerja di sektor pertanian, pembinaan, dan servis mencuci. 

Dalam memutuskan berapakah gaji minimum yang wajar, kita juga faham kekangan majikan terutama dari industri kecil dan sederhana yang mana kos upah merupakan antara kos tertinggi bagi sesebuah perniagaan. 

Insentif khusus kepada perniagaan kecil dan sederhana dan berfokuskan kepada pengambilan pekerja tempatan haruslah diberi penekanan dalam Bajet 2023.

Kita tidak mahu lambakan pekerja asing atas alasan sukar untuk mencari warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan. Ini merupakan asalan sesetengah majikan yang memanipulasi pekerja asing dengan memberikan gaji yang terlalu rendah. 

Warga asing mempunyai daya tahan yang tinggi kerana mereka ditindas lebih teruk di negara sendiri, namun begitu perkara ini tidak boleh diteruskan sehingga anak tempatan hilang pekerjaan disebabkan sikap tamak sebahagian majikan. 

Sepatutnya, pekerja asing yang kita patut diambil bekerja di Malaysia adalah mereka yang berkemahiran tinggi supaya kemahiran itu mengalir ke dalam negara dan membantu meningkatkan pembangunan, pekerja tempatan juga boleh belajar kemahiran yang dibawa dari negara luar.

TVET dalam pendidikan

Ketiga, melibatkan pemerkasaan TVET (Technical and Vocational Education and Training) dalam pendidikan. 

Jika kita ingin meningkatkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara, pelabur asing melihat kepada kemahiran dan kecekapan teknikal tenaga kerja tempatan. Kita perlu ada sekumpulan pekerja mahir dan salah satu caranya adalah pemerkasaan TVET. 

Bagi mencapai matlamat ini, banyak lagi yang harus dilakukan. Antaranya, kita perlu ubah persepsi masyarakat bahawa TVET ini hanya untuk pelajar kelas belakang, jadi persepsi ini perlu diubah sehingga masyarakat faham ada sebahagian yang mempunyai kecenderungan untuk kemahiran teknikal, sebahagian yang lain akademik.

Negara kita memerlukan kedua-dua kemahiran ini. Oleh itu adalah diharapkan dalam Bajet 2023 kelak, kerajaan akan memperkasa dan mempromosikan TEVT sebagai pilihan pengajian yang diterima umum. – HARAKAHDAILY 29/9/2022

Dr. Diana Abdul Wahab (Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya)

- Advertisement -