Aung San Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

Bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi. (FOTO: Reuters)

Susunan YUSMAN AWANG

Advertisement

NAYPYITAW: Bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan bekas penasihat ekonominya, warga Australia, Sean Turnell yang didapati bersalah dalam satu lagi kes jenayah dihukum penjara tiga tahun.

Mahkamah di Myanmar yang diperintah oleh tentera pada Khamis menjatuhi hukuman tersebut pada hari ini, Khamis  (29 Sep) atas kesalahan melanggar undang-undang rahsia rasmi negara, lapor Reuters

Terdahulu, kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan, yang membawa hukuman maksimum 14 tahun, lapor Reuters.

Suu Kyi, Turnell dan beberapa anggota pasukan ekonominya adalah antara ribuan yang ditahan sejak tentera menggulingkan kerajaan yang dipilihnya dalam rampasan kuasa awal tahun lalu, termasuk ahli politik, penggubal undang-undang, birokrat, pelajar dan wartawan.

Turnell juga telah didakwa atas dakwaan melanggar prosedur  imigresen, yang mana beliau menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun. Mahkamah dijangka memutuskan kes itu, juga  pada Khamis.

Pemenang Hadiah Nobel,  Suu Kyi sebelum telah dijatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 23 tahun dalam kes berasingan, kebanyakannya berkaitan dengan tuduhan rasuah, namun beliau menafikan kesemua tuduhan terhadapnya itu.

Penentang tentera berkata, tuduhan terhadap Suu Kyi bertujuan menghalangnya daripada terlibat dalam politik sekali lagi dan mencabar cengkaman kuasa tentera.

Jurucakap junta yang tidak menjawab panggilan untuk mendapatkan komen pada Khamis, namun  menegaskan bahawa mahkamah Myanmar adalah bebas dan mereka yang ditangkap sedang menerima proses yang sewajarnya.

Turnell, yang juga seorang profesor ekonomi di Universiti Macquarie di Australia, telah ditahan sejak beberapa hari selepas rampasan kuasa.

Isterinya, Ha Vu, yang berpangkalan di Australia, berkata dia dan keluarganya berasa sedih dan  dengan keputusan  mahkamah Myanmar dan meminta suaiminya dihantar pulang.

“Sean telah menjadi salah seorang penyokong terbesar Myanmar selama lebih 20 tahun dan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mengukuhkan ekonomi Myanmar. Sila pertimbangkan sumbangan … dan hantar pulang dia sekarang,” katanya dalam catatan Facebook.

Sementara Menteri Luar Australia, Penny Wong dalam satu kenyataan berkata bahawa kerajaan negara itu secara konsisten menolak pertuduhan terhadap Turnell.

“(Kami) menolak keputusan mahkamah hari ini… dan menggesa dia (Seanl) dibebaskan segera,” tegasnya yang menambah bahawa pegawai konsulat Australia yang ditugaskan untuk membantu Turnell dinafikan akses ke mahkamah.

Hukuman pada  Khamis itu diputuskan di mahkamah tertutup di ibu negara, Naypyitaw, namun kesalahan tepat defendan di bawah akta rahsia rasmi masih tidak jelas, walaupun sumber sebelum ini berkata kesalahan Turnell  adalah ‘berkaitan dengan dakwaan bahawa dia mempunyai dokumen kerajaan’.

Seorang penganalisis bagi kumpulan pemikir Kumpulan Krisis Antarabangsa, Richard Horsey, melabelkan prosiding  itu tidak lebih sebagai ‘pertunjukan perbicaraan’ 

“Bagi Sean, harapannya sekarang ialah – setelah berada dalam tahanan selama hampir 20 bulan – dia akan dibebaskan tidak lama lagi daripada pengalaman pahit ini dan bersatu semula dengan keluarganya di Australia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2022