Anak sendiri dihukum jika bersalah

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 51)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

ABDUL Razzaq dan Al-Baihaqi mengeluarkan daripada Ibn Umar ra, katanya: ‘Saudaraku, Abdul Rahman minum. Abu Sarwaah Uqbah bin Al-Harith minum bersamanya. Mereka ketika itu di Mesir, dalam pemerintahan Umar al-Khattab. Lalu kedua-duanya mabuk.

Esoknya, kedua-duanya menuju Umar bin Al-As ra, gabenor Mesir. Kedua-duanya berkata: ‘Bersihkan kami! Kami jadi mabuk dengan sebab minuman yang kami minum.’

- Advertisement -

Abdullah berkata: Saudaraku menyebut bahawa dia telah mabuk. Kataku: ‘Masuk dalam rumah! Aku bersihkan kamu (dengan maksud mahu menjatuhkan hukuman).’ Aku tidak sedar kedua-duanya telah menemui Amru. Saudaraku beritahu bahawa Amir al-Mukminin telah dimaklumkan tentang perkara ini.

Aku (Abdullah) berkata: ‘Engkau tidak akan dicukur kepala hari ini di khalayak ramai. Masuk rumah! Aku cukur kepalamu.’

Mereka ketika itu, mencukur kepala sebagai hukuman, di samping hukuman hudud. Kedua-duanya masuk ke rumah.

Abdullah berkata: Aku cukur kepala saudaraku dengan tanganku. Kemudian Amru menyebatnya.

Umar mendengar berita itu. Beliau menulis surat kepada Amru supaya Abdul Rahman dibawa kepadanya di atas tempat duduk sebesar bonggol unta. Amru melaksanakannya.

Apabila Abdul Rahman sampai kepada Umar, beliau menyebat Abdul Rahman. Kemudian melepaskannya. Sebulan selepas itu Abdul Rahman berada dalam keadaan sihat. Kemudian qada dan qadar berlaku kepadanya, lalu dia mati. Orang ramai menyangka dia mati disebabkan sebatan Umar, sedangkan dia mati bukan kerana sebatan Umar.

(Kehidupan para Sahabat, Al-Kandahlawi 2/96)

Dari kisah yang berlaku terhadap anak VIP ini, kita belajar beberapa perkara:

  1. Bapa seorang yang hebat, tetapi belum tentu anak mewarisi sepenuhnya kehebatan bapa. Kita melihat ada Tok Guru, ulama, pemimpin sebagai tokoh yang disanjung. Namun iman tak dapat diwarisi oleh anak-anaknya.
  2. Kesediaan anak Umar mengaku salah dan diminta dia dihukum adalah tindakan yang dipuji syarak. Setiap orang terdedah kepada pelbagai kesilapan. Orang yang baik ialah yang bersedia bertaubat dari kesalahan yang dilakukannya.
  3. Umar tetap menghukum sendiri dengan tangannya kepada anaknya, sekalipun telah dihukum oleh Abdullah dan Amru bin Al-As. Prinsip menegakkan keadilan bagi Umar menyebabkan beliau berbuat demikian.
  4. Mereka yang bersalah tetap menerima hukuman. Anak, bapa, keluarga tidaklah lebih tinggi dari syarak jika mereka bersalah.

الاسلام يعلو ولا يعلى عليه

Islam itu tinggi. Tidak ada yang lebih tinggi darinya.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 29/9/2022

- Advertisement -