Azhar lebih suka sistem penggal tetap Parlimen

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun semasa sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Parlimen, pada 28 September 2022. Foto ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Sistem penggal tetap Parlimen, iaitu pilihan raya mengikut tarikh yang ditetapkan adalah lebih praktikal dan menjimatkan kos.

- Advertisement -

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata sistem itu akan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugas dengan lebih rapi dan tersusun.

“Secara praktikalnya, semasa saya menyandang jawatan Pengerusi SPR, waktu itu saya lebih suka fixed term (penggal tetap) kerana SPR boleh bersedia.

“Kita (SPR) boleh tengok tempat mengundi, mula memperuntukkan sekolah, sewa dewan, latih pekerja dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Parlimen, hari ini.

Menurut Azhar, SPR juga mempunyai masa selama enam bulan untuk merancang dan bersedia dari segi penggunaan tempat mengundi berbanding pilihan raya mengejut.

Tambah beliau, walaupun SPR mempunyai pilihan untuk melatih pekerja lebih awal, masih terdapat kemungkinan pekerja yang dilatih awal akan lupa dan mungkin tidak dapat memberi komitmen kepada SPR apabila tarikhnya tiba.

“Jika latih 90,000 pekerja pilihan raya awal sangat dan pilihan raya itu tidak berlaku, perlu latih lagi sekali sebab lupa.

“Kita latih 90,000 itu semasa mereka mempunyai masa, tiba-tiba apabila dipanggil pada tarikh yang mereka tidak sangka, mereka tidak dapat beri komitmen, saya perlu cari lagi 40,000 orang,” katanya.

Selain sukar mendapatkan dewan sesuai dalam tempoh singkat dan bertembung dengan majlis lain, katanya, pilihan raya tanpa tarikh yang tetap juga mengehadkan kuasa tawar-menawar antara SPR dan vendor seperti syarikat percetakan dan pengangkutan.

“Mahu atau tidak, pilihan raya perlu dibuat dalam masa 60 hari dari hari pembubaran, jadi dari segi praktikalnya saya rasa fixed term (penggal tetap) adalah lebih baik, tetapi dari segi politik saya tidak mahu komen,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2022

- Advertisement -