Bentang semula Bajet 2023 jika tidak sempat diluluskan

Tan Sri Azhar Azizan Harun (paling kiri) di Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Parlimen. - Foto: Zharif Zulkiflee
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, perlu dibentangkan semula jika RUU berkenaan belum diluluskan akibat pembubaran Parlimen bagi memberi laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata Bajet 2023 atau Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 perlu dibentangkan semula bagi bacaan kali pertama dan seterusnya oleh kerajaan baharu yang dibentuk selepas PRU15.

- Advertisement -

Jika ada PRU15, katanya akan ada kerajaan baharu yang perlu mengadakan bacaan pertama semula kerana Bajet 2023 tidak mengikat kerajaan.

“Dia akan ada bacaan pertama yang baharu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Parlimen, hari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dijangka membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat minggu depan ketika spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubar selepas itu, iaitu sebelum RUU berkenaan diluluskan.

Azhar berkata, kerajaan baharu boleh menggunakan draf RUU yang sama untuk dibentangkan semula ke Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 28/9/22

- Advertisement -