Culik kanak-kanak: Jangan guna fakta tidak benar

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan isu keselamatan tanpa fakta sebenar, berhubung dakwaan berlaku kes penculikan dan cubaan menculik kanak-kanak sekolah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai surat yang tular di media sosial, dipercayai telah dikeluarkan oleh beberapa sekolah di negeri ini mengenai dakwaan berlaku kes penculikan kanak-kanak sekolah yang kononnya ‘sering berlaku’ ketika ini.

Advertisement

“Mengatakan kes penculikan kanak-kanak sering berlaku adalah tidak benar kerana masih belum ada laporan polis diterima daripada orang awam atau dari pihak sekolah sendiri mengenai insiden tersebut.

“Tidak menjadi masalah jika sentiasa memberi ingatan tentang keselamatan anak-anak, tapi menggunakan isu keselamatan yang tidak benar dan tanpa fakta boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar anggota masyarakat bertenang dan menggesa pihak sekolah supaya sentiasa berhubung dengan pihak polis sekiranya timbul sebarang isu keselamatan, menerusi ketua polis daerah atau pegawai perhubungan sekolah (PPS) masing-masing.

“Saya juga ingin menegaskan (mengingatkan) agar pihak sekolah tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan secara bersurat atau melalui kumpulan sosial yang akan memberikan kerisauan kepada ahli keluarga dan kegusaran yang tidak sewajarnya.

“Bagaimanapun, pihak polis akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memberikan maklumat terkini dan meningkatkan rondaan di kawasan sekolah-sekolah terutamanya pada waktu tamat sesi persekolahan,” kata Rohaimi.

Katanya lagi, beliau juga telah mengarahkan semua ketua polis daerah untuk mendapatkan maklumat dan meningkatkan rondaan di sekolah-sekolah. – BERNAMA