Perbincangan kedudukan Muafakat Nasional masih berjalan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Perbincangan mengenai kedudukan Muafakat Nasional (MN) masih lagi berjalan sehingga sekarang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS turut berbincang dengan parti politik lain dengan mengutamakan kestabilan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita turut mengadakan perbincangan dengan parti di Sarawak dan Sabah. Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pergi berjumpa dengan pemimpin parti terbabit.

- Advertisement -

“Kita berbincang untuk wujudkan kestabilan politik dalam negara terutama selepas PRU15 nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Presiden PAS mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli parlimen Pasir Salak Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan berita itu sebagai khabar gembira masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, tiada masalah jika seseorang itu mahu menjadi perdana menteri kali ketiga sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya di Malaysia tiada undang-undang yang menyekat seseorang itu untuk menjadi perdana menteri berapa kali.

“Jangankan tiga kali, empat kali pun boleh asalkan ada sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat, sesiapa boleh dilantik jadi perdana menteri,” katanya.

Baru-baru ini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor bersedia untuk kembali dilantik perdana menteri kali ketiga, sekiranya tiada calon lain yang sesuai. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -