Belanjawan 2023 tumpu pemulihan ekonomi pasca Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

JELI: Kerajaan memberi tumpuan terutama isu ekonomi dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober ini dalam usaha memastikan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, ia juga meliputi rancangan ekonomi jangka masa pendek dan panjang khususnya transformasi ekonomi yang berdaya tahan menangani sebarang cabaran.

Malah katanya, kerajaan juga memastikan ekonomi negara tumbuh sebanyak 5.3 hingga 6.3 peratus seperti yang dijangka tahun ini.

“Yang penting kita nak pastikan ekonomi negara tumbuh seperti yang dijangka iaitu sebanyak 5.3 hingga 6.3 peratus dan kita mahu mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak kepada anak muda.

“Namun, apa yang kurang kita (kerajaan) akan terus perbaiki dan kita beri tumpuan terhadap ekonomi selepas kita lalui krisis ekonomi semasa wabak Covid-19 melanda negara sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Belanjawan 2023 diramal akan mencatatkan perbelanjaan keseluruhan lebih tinggi berbanding bajet sebelum ini, di samping menggariskan senarai projek lebih panjang bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober diawalkan tiga minggu. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -