Mengundi musim tengkujuh beban mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan membuat persiapan awal untuk hadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir besar pada hujung tahun ini.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mempunyai 442 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh jajahan yang mampu menempatkan sehingga 170,000 mangsa banjir.

“Saya juga meminta rakyat melakukan persiapan awal. Sebenarnya berdasar pengalaman lalu kita sentiasa membuat persiapan. Sebab itu walaupun banjir besar berlaku, tidak berlaku banyak kes kematian.

“Ini kerana rakyat kita sudah bersedia, namun persiapan itu diadakan lebih awal oleh semua pihak,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Budaya Komuniti Rabbani di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Mengenai khabar angin Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada musim tengkujuh, beliau berkata langkah itu boleh menyulitkan pihak berkuasa dan pengundi.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, PPS sebelum ini dijadikan pusat pembuangan undi tentunya akan menyulitkan sekiranya PRU diadakan di musim tengkujuh.

Lagi pun jumlah pusat mengundi yang membabitkan premis sekolah akan bertambah dengan kehadiran undi18 pada PRU kali ini.

“Undi dan banjir hendak mari ke mana kita hendak fikir, hendak pindah mangsa banjir lagi, orang hendak mengundi lagi, tentunya kita akan hadapi kesulitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -