Kelantan laksana budaya komuniti rabbani

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Budaya Komuniti Rabbani atau K-Rabb merupakan kesinambungan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang dilancar kerajaan negeri sebelum ini.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, DPRK dilaksanakan kepada warga pendidikan, manakala K-Rabb melibatkan pimpinan akar umbi.

Katanya menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan kehidupan harian rakyat berpandukan ajaran Islam sekali gus menangani masalah sosial.

“Kita berjaya melancar DPRK dan sekarang dalam usaha untuk melaksanakan program budaya komuniti rabbani. Ini merupakan satu usaha yang baik. Ambo berharap elemen komuniti rabbani dapat menjadi amalan harian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Budaya Komuniti Rabbani di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Dr. Azizi Umar.

Terdahulu seramai 52 pimpinan akar umbi diberi pendedahan mengenai elemen K-Rabb melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Sembilan elemen K-Rabb iaitu, menjadikan matlamat kehidupan kerana Allah dan akhirat, mengutamakan ilmu fardu ain, melazimi suruhan agama, beramal menyebar ilmu.

Selain itu pembudayaan amalan berguru, tanggungjawab keluarga, masyarakat dan institusi, amar makruf nahi mungkar, cakna kepada persekitaran kehidupan dan kesahihan sumber ilmu dan maklumat.

Pembangunan K-Rabb bermula pada April 2021 dibuat oleh sekumpulan panel pembangunan modul yang terdiri ahli akademik dan pendidikan tempatan.

Modul tersebut dinilai panel berpengalaman seperti ahli akademik dari institusi pendidikan tinggi di Kelantan dan pihak berkuasa agama.

Pada Ogos 2022 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setuju menubuh Jawatankuasa Induk Program K-Rabb bagi merangka sembilan elemen program tersebut. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -