Menuntut ilmu adalah jihad

- Advertisement -

SEBAHAGIAN daripada masyarakat menganggap menuntut ilmu adalah sebahagian daripada Sunnah, walhal kita tidak tahu ada beberapa hal yang mewajibkan kita untuk menuntut ilmu sebagai contoh ilmu Fardhu Ain yang wajib dipelajari dan berdosa sekiranya ditinggalkan.

Ilmu adalah kunci segala kebaikan dan pengetahuan. Ilmu juga merupakan kewajipan untuk menjalankan segala yang Allah S.W.T perintahkan kepada kita.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

- Advertisement -

“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.” 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Menuntut ilmu adalah keutamaan bagi semua umat Islam pada masa kini. Dengan ilmu maka mereka boleh menyebarkan mesej keamanan agar tiada lagi persengketaan sesama manusia. Antara keutamaan lain adalah:

1. Memudahkan seseorang untuk masuk ke syurga.

2. Ilmu yang diperolehi dan seterusnya disebarkan akan diangkat sebagai amal jariah.

3. Allah S.W.T akan mengangkat darjat seseorang yang berilmu.

4. Orang yang berilmu adalah orang yang paling takut dengan Allah S.W.T dan akan segera

melaksanakan perintahNya.

5. Allah akan memberi kebaikan dan keberkatan kepada orang yang berilmu di dunia dan akhirat.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fisabilillah sehingga ia kembali.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, jangan kita sesekali meremehkan usaha para ilmuwan yang berjuang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Kita seharusnya mengambil contoh daripada usaha mereka dalam memperbaiki diri kita. Ini kerana ilmu amatlah penting dalam kehidupan dan ia merupakan salah satu jihad yang paling agung. 

Allah S.W.T sudah memberikan banyak kenikmatan. Jika kita tidak menggunakan dengan sebaik mungkin, maka kita akan menjadi salah satu golongan yang rugi.

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY21/9/2022

- Advertisement -