Dahulukan pemberian kepada mereka yang berhak menerima

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 50)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

UMAR al-Khattab melantik Qais bin Salamah memerangi bangsa Kurdi. Mereka menang dalam peperangan itu. Apabila harta rampasan perang diagih, Qais terlihat satu barang perhiasan. Beliau meminta izin tentera untuk menghantar barang perhiasan itu kepada Umar. Mereka setuju. Qais menghantarnya melalui seorang Sahabat.

Beliau menemui Umar. Ketika itu Umar sedang memberi makan tengahari kepada fakir miskin di kalangan orang Islam, sambil bertelekan pada tongkatnya. Sahabat itu datang, lalu mempersilakannya duduk.

- Advertisement -

Selesai memberi makan, Umar pulang ke rumahnya. Sahabat itu mengikutinya, lalu masuk ke rumah bersamanya. Sahabat itu diberi bantal, dan Umar duduk di tempat lain.

Umar memanggil: ‘Wahai Umma Kalthum! Bawa makanan kami.’
Ummi Kaltum membawa sekeping roti dengan minyak zaitun, juga garam. Umar makan bersama tetamu itu.

Sahabat itu kemudian berkata: ‘Hajatku, wahai Amir al-Mukminin! Aku adalah utusan Qais bin Salamah.’

Umar menjawab: ‘Selamat datang’. Beliau bertanya tentang Sahabat Muhajirin.
Sahabat itu menjawab: ‘Mereka berada di dalam keadaan yang baik.’

Sahabat itu memberitahu tentang barang perhiasan itu. Umar bingkas bangun. Beliau meletakkan tangan di pinggangnya, lalu berkata:
‘Allah tidak mengenyangkan perut Umar. Hantar balik barang yang kamu bawa ini. Demi Allah! Jika orang Islam yang berperang itu balik sebelum kamu bahagikan harta rampasan ini, aku akan kerjakan kamu dan kawan kamu (Qais)’.

Sahabat itu terus keluar, mendapatkan kembali Qais dan beritahu apa yang berlaku. Qais kemudian membahagikan harta rampasan perang kepada yang berhak.

(Albayan alfasil baina alhaq walbatil, Ali Fikri ms 170)

Dari kisah ini, kita dapat mengambil beberapa pengajaran:

  1. Perang dibenarkan di dalam Islam dalam keadaan tertentu. Asas di dalam Islam ialah perdamaian dahulu.
  2. Jika menang, tentera Islam berhak mendapat harta rampasan perang.
  3. Ketua tentera mesti mendapat persetujuan yang lain jika ingin membuat sesuatu yang asalnya menjadi hak mereka juga.
  4. Dalam kes ini, Qais sebagai ketua tentera mungkin bermaksud memuliakan Umar selaku pemimpin tertinggi sebuah kerajaan dengan menghantar barang perhiasan tertentu, tanpa ada niat buruk atau ada udang di sebalik batu.
  5. Umar al-Khattab sendiri memberi makan kepada fakir-miskin. Selepas itu baru beliau makan di rumahnya. Akhlak sangat tinggi bagi seorang pemimpin yang tidak mudah ditiru.
  6. Tetamu diraikan dengan tempat duduk dan makanan.
  7. Umar bertanya khabar mengenai Sahabat Muhajirin. Mengambil tahu dan cakna tentang kesihatan, kehidupan rakyat dan orang lain adalah sifat terpuji.
  8. Apabila diberitahu tentang barang perhiasan itu, Umar bingkas bangun dan menolak untuk menerimanya dan menyebut sebagaimana dalam kisah di atas.

Jika difikirkan, apa salahnya Umar terima. Keizinan telah diminta. Mereka pula setuju dan reda. Bukan Umar yang pujuk meminta barang perhiasan itu.

Namun, di sini kita dapat melihat ketinggian nilai akhlak Umar selaku ketua negara. Beliau tidak mengambil kesempatan dari kedudukannya untuk dirinya. Beliau mendahulukan orang yang patut didahulukan menerima sesuatu.

Akhlak seperti ini, adakah berlaku di zaman kita? Tepuk dada, tanyalah iman.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -