Masalah air sekitar Beserah usaha diatasi PAIP

- Advertisement -

PENYELESAIAN jangka pendek atasi tekanan air rendah di perumahan Batu Hitam dan sekitar.

Kerja-kerja pemasangan booster pump sedang dilaksanakan ketika ini oleh kontraktor PAIP di lokasi berhampiran di Sg Karang Pantai.

Ia sebagai usaha mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan-kawasan seperti Taman Batu Hitam, Bukit Gelugor, Taman Beserah dan sekitarnya. 

Masalah di kawasan-kawasan ini sudah berlarutan terlalu lama. Jika berlaku gangguan bekalan pula, penduduk di sini selalunya paling lambat menerima pemulihan bekalan. 

Pemasangan booster pump ini merupakan salah satu daripada tiga pilihan yang pernah dibincangkan sebelum ini. 

Dua pilihan lain adalah pembinaan menara tangki dan membuat sambungan daripada satu lagi jajaran bekalan. 

Penyambungan ke jajaran lain telah dilakukan sebelum ini, namun ia tidak menyelesaikan masalah. 

Manakala pembinaan menara tangki sedang dirancang sebagai penyelesaian jangka panjang. 

Sebelum ini rancangan membina menara tangki menghadapi kesulitan kerana tiada tapak awam yang bersesuaian atau yang boleh dipohon oleh pihak PAIP.

Alhamdulillah, sebuah tapak sudah dikenalpasti dan telah diserahkan kepada PAIP untuk tujuan pembinaan tersebut. 

Insya-Allah, saya amat berharap pemasangan booster pump ini dapat menyelesaikan masalah tekanan rendah yang berterusan di kawasan-kawasan terlibat. 

Juga rancangan pembinaan menara tangki akan berjalan lancar dan dapat menyelesaikan masalah dalam jangka panjang termasuk memenuhi keperluan yang mungkin lebih tinggi di masa akan datang. 

Terima kasih kepada PAIP Daerah di atas usaha yang diambil bagi menangani isu yang sekian lama menjadi keluhan penduduk dan sering diadukan ini.

ANDANSURA RABU
ADUN Beserah– HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -