PRU15: PAS komited sehingga penghujung penggal

Oleh SUHAIMI TAIB

KUALA TERENGGANU: PAS komited untuk melihat keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga penghujung penggal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan mendesak diadakan segera khususnya di musim banjir.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata yang penting parti itu tidak mahu menyusahkan rakyat bukan menjaga kepentingan parti-parti politik semata-mata.

Beliau berkata demikian di sini hari ini ketika ditanya wartawan berhubung desakan Barisan Nasional (BN) mengadakan PRU15 di musim banjir.

Advertisement

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang mengadakan lawatan di kawasan kebakaran Kampung Cina bersama ADUN Bandar, Ustaz Ahmad Shah Mohamed dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Md Hilman Abd Rashid. (Foto atas)

Seterusnya Ahmad Samsuri berkata, PAS menyifatkan parti politik sebagai alat atau medium untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Yang penting bagi kita ialah kita tidak menyusahkan rakyat bukan bagi kepentingan parti-parti politik semata-mata.

“Parti-parti politik ini adalah ‘tool’ atau medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan yang penting ialah kita tengok rakyat selesa ataupun tidak,” jelasnya.

Katanya, rakyat tidak perlu dipaksa untuk menerima PRU15 di musim banjir kerana musim berkenaan menimbulkan kertidakselesaan kepada mereka.

“Kalau rakyat kurang selesa akibat banjir kenapa kita nak paksa rakyat sehingga mereka tidak selesa.

“Kita biarkan suasana ekonomi berkembang dan sebagainya, itu pandangan peribadi saya,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, setakat ini pendirian PAS kekal dan tidak ada perubahan untuk membuat pilihan raya sehingga penghujung tempoh penggal Parlimen dan DUN. – HARAKAHDAILY 20/9/2022