Barcelona unjur untung 274 juta Euro musim ini

Penyokong memberi sokongan padu kepada Barcelona keluar dari kemelut kewangan.
- Advertisement -

Barcelona mencatat keuntungan sebanyak 98 juta Euro untuk tahun kewangan 2021-22 dan membuat unjuran keuntungan sebanyak 274 juta Euro pada musim ini.

Kelab Catalan itu menduduki tempat kedua dalam senarai penilaian pasukan bola sepak Forbes dengan nilai semasa AS$5 bilion, di belakang saingan utama, Real Madrid yang bernilai AS$5.1 bilion.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan, kelab itu menyatakan bahawa Lembaga Pengarah menutup tahun kewangan dengan perolehan sebanyak 1.017 bilion Euro dan meluluskan bajet pendapatan operasi sebanyak 1.255 bilion Euro untuk musim ini.

Awal bulan ini, LaLiga menaikkan had perbelanjaan Barcelona sebanyak 800 juta Euro, membolehkan kelab itu keluar daripada defisit perbelanjaan selepas pasukan Catalan itu menjual sebahagian aset untuk membaiki keadaan kewangan mereka.

Untuk mengimbangi kerugian dan mematuhi peraturan kewangan LaLiga, Barcelona menjual 25 peratus hak televisyen domestik mereka kepada firma pelaburan Amerika Syarikat, Sixth Street untuk 25 tahun akan datang dalam dua perjanjian bernilai lebih 500 juta Euro.

Kelab itu memperoleh tambahan 200 juta Euro daripada penjualan 49 peratus pegangan dalam Barca Studios melalui dua transaksi berasingan, serta menandatangani perjanjian penajaan jangka panjang dengan gergasi penstriman, Spotify, Mac lalu.

Ini membolehkan Barcelona membelanjakan lebih 150 juta Euro pada untuk membeli Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde, manakala Andreas Christensen, Franck Kessie, Hector Bellerin dan Marcos Alonso, diperolehi dengan perpindahan percuma.

Barcelona berada di tangga kedua LaLiga dengan 16 mata selepas enam perlawanan, dua mata di belakang Real. – REUTERS

- Advertisement -