Penempatan haram Israel: Booking.com keluar amaran keselamatan

Pandangan umum menunjukkan penempatan haram Yahudi di Efrat, di Tebing Barat pada 10 Mac 2022. (FOTO FAIL: AP)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

BAITULMAQDIS: Syarikat tempahan hotel untuk pelancongan dalam talian terkemuka global, Booking.com merancang memperkenalkan amaran kepada pelanggannya yang melawat penyenaraian untuk tujuan melancong di penempatan haram Israel di Tebing Barat.

- Advertisement -

Amaran itu menyatakan bahawa tempahan untuk penyenaraian di penempatan haram itu Israel akan memberitahu pengguna bahawa melancong di  kawasan itu berhadapan dengan peningkatan risiko terhadap keselamatan dan hak asasi manusia atau risiko lain kepada masyarakat dan pelawat tempatan, lapor Middle East Eye. 

Booking.com dalam kenyataannya berkata, amaran itu digunakan untuk semua penyenaraian di zon konflik di seluruh dunia dan bertujuan untuk memudahkan setiap orang mendapat gambaran awal tentang destinasi di seluruh dunia untuk dipilih sebagai lokasi pelancongan. 

“Selaras dengan matlamat ini, kami cuba memastikan pelanggan kami mempunyai maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan mengenai destinasi yang ingin mereka lawati. 

“Kawasan tertentu di dunia yang terjejas akibat konflik mungkin menimbulkan risiko yang lebih besar kepada pengembara, jadi kami menyediakan pelanggan kami maklumat untuk membantu membuat keputusan dan menggalakkan mereka menyemak garis panduan perjalanan rasmi kerajaan mereka sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan,” ujar kenyataan Booking.com.

Laporan media Israel mengatakan amaran itu akan diperkenalkan pada  Khamis (22 Sept) ini (waktu tempatan) dan mungkin termasuk perkataan ‘diduduki’ (secara haram)  dalam penyenaraian yang dipinda untuk penempatan haram Israel di Tebing Barat berkenaan.

Menurut laporan  program televisyen Hatzinor, Booking.com mungkin menambah amaran kepada penyenaraian di Baitulmaqdis Timur yang diduduki secara haram oleh Israel.

Dalam pada itu, The Washington Post melaporkan, Booking.com  akan memberi amaran kepada pelanggan yang menempah penginapan di penempatan haram Israel bahawa mereka bakal berada di kawasan yang berada ‘dalam pertikaian, terjejas atau berisiko tinggi yang mungkin menimbulkan risiko lebih besar’ terhadap keselamatan.

Syarikat berkenaan juga memberitahu The Associated Press bahawa ia masih mengusahakan bahasa amaran keselamatan untuk Tebing Barat yang diduduki secara haram oleh Israel dan beberapa wilayah lain di seluruh dunia namun  tidak menyatakan bila amaran itu akan berkuat kuasa.

Tindakan itu akan dilakukan apabila keganasan meningkat di Tebing Barat, dengan serbuan oleh tentera Israel di bandar dan kampung menyebabkan sekurang-kurangnya 85 rakyat Palestin terbunuh setakat tahun ini.

 Pada hari Isnin,  tentera Israel berkata sebuah kenderaan telah diserang ketika ia melalui sebuah perkampungan Palestin di utara Tebing Barat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Israel menduduki Tebing Barat dan kawasan kejiranan timur Baitulmaqdis, termasuk Kota Lama, dalam perang Timur Tengah 1967. Sejak itu, ia telah menempatkan ratusan ribu rakyatnya di wilayah yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Saingan Booking.com, Airbnb sebelum ini merancang untuk menyahsenarai hartanah di penempatan Israel, tetapi pada 2019 menarik balik keputusan itu dan berkata ia tidak akan mengambil keuntungan di wilayah itu, sebaliknya mendermakan hasil kepada organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Kontroversi yang sama telah menyelubungi pembuat aiskrim Ben & Jerry’s yang mana Syarikat Vermont mencetuskan bantahan di Israel dengan mengatakan bahawa ia akan menghentikan penjualan produknya di Tebing Barat yang diduduki  secara haram oleh Israel pada tahun lepas. – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -