Nikmati suasana kampung selepas musim menuai

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Pesta Bendang Guar Sanji yang diadakan di Kampung Tebuk dekat sini semalam memberi peluang penduduk di Dun Guar Sanji menikmati suasana sebenar kehidupan kampung selepas musim menuai.

Orang ramai menyertai pelbagai aktiviti termasuk tarik tali dalam bendang, gagau ikan, tangkap itik, larian bendang, gelung getah, tampi padi terpantas dan pertandingan memasak.

Program tahunan itu dianjur Pusat Khidmat Guar Sanji. Turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

- Advertisement -

Adun kawasan berkenaan Mohd Ridzuan Hashim berkata, kegembiraan dan keterujaan penduduk tempatan jelas terpancar terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, mereka berpeluang menyertai aktiviti dalam bendang tersebut yang jarang berlaku sebelum ini.

“Melalui aktiviti tersebut hubungan silaturahim antara penduduk kampung dapat dieratkan lagi. Lebih 153 peserta mengambil bahagian pelbagai acara yang diadakan,” katanya pada program berkenaan.

Pesta tersebut merupakan salah satu aktivti sukan rakyat fasa ketiga selepas penganjuran Guar Sanji Cubcross dan Guar Sanji FunSport.

Program tersebut turut melibatkan Kerjasama Pertubuhan Guar Sanji Prihatin (GS Prihatin), Ameerah Arau, PAS DUN Guar Sanji, Muslimat DUN Guar Sanji, JPKK Kampung Tebuk dan Jabatan Amal Malaysia Perlis. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -