RMK12: Kelantan diperuntuk RM2.39 bilion tahun ini

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan Persekutuan memantau pelaksanaan projek pembangunan di Kelantan bagi memastikan ia berjalan lancar seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, badan pemantauan di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditubuh dengan diselia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Di peringkat Kerajaan Persekutuan, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Pelaksanaan RMK12 dipengerusikan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri diwujudkan.

“Jawatankuasa ini buat kali pertama diwujudkan bertujuan untuk memantau pelaksanaan.

- Advertisement -

“Saya bersama Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara bagi memantau status projek pembangunan fizikal dan menangani sebarang isu berbangkit,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Libat Urus bersama Pegawai Kerajaan Persekutuan dan negeri mengenai projek pembangunan dan peruntukan pembangunan di bawah RMK12 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Hadir sama pada programitu Sr Azami dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Mustapa juga berkata, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan, dan Utili Dato’ Sr Azami Mohd Nor mempengerusikan mesyuarat berkala mengenai status pelaksanaan projek pembangunan setiap dua bulan.

Menurutnya sebarang isu berkaitan dengan pelaksanaannya perlu diselesaikan segera supaya perkembangan projek tidak terjejas.

Beliau juga berkata secara keseluruhan kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM75.6 bilion tahun ini berbanding RM69 bilion tahun lalu bagi perbelanjaan RMK.

Di bawah RMK12 kata beliau kerajaan mengumumkan komitmen mengagihkan 50 peratus peruntukan asas pembangunan kepada enam negeri di Malaysia yang dilihat kurang membangun termasuk Kelantan.

“Bagi Kelantan, kita memperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion pada tahun 2021 dan RM2.39 bilion bagi 2022. Peruntukan ini lebih tinggi berbanding dengan purata RM1.3 bilion setahun.

“Setakat 1 September lepas sejumlah 396 projek di bawah RMK12 diluluskan. la melibatkan 75 projek baru dan 321 projek sambungan. Sehingga kini, RM1.1 bilion daripada jumlah peruntukan dibelanjakan,” katanya.

Antara projek utama yang diluluskan seperti projek Central Spine Road (CSR) di Kelantan, pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dan pembesaran serta menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Selain itu pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu, Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok dan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan serta pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -