Konsert Riuh Sokmo ikut syarat PBT

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Penganjuran Konsert Riuh Sokmo! di Stadium Mini Ketereh malam tadi diangggap menepati syarat ditetapkan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Malah ia juga selari dengan dasar kerajaan negeri, Membangun Bersama Islam antaranya melaksanakan pengasingan lelaki, perempuan dan keluarga.

Konsert tersebut menampilkan artis terkenal termasuk Ramli Sarip, Awie, dan Faizal Tahir serta artis tempatan. Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) dianjur Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Penghulu Mukim Lachang, Adlan Ismail berkata, persembahan artis pada Konsert Riuh Sokmo dianggap tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.

- Advertisement -

Katanya, konsert itu sepatutnya berlangsung tiga malam, namun pada hari Jumaat konsert tidak diadakan sebagai menghormati peraturan kerajaan negeri.

“Konsert hanya diadakan malam tadi dan malam semalam biar pun program itu dijadualkan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat.

“Berdasar pemerhatian saya pengunjung diasingkan mengikut mengikuti Enakmen Hiburan, cuma ada segelintir pengunjung yang enggan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya di sini.

Adlan Ismail

Adlan juga berkata, usahasama K-KOMM menerusi Kumpulan Mycreative Sdn Bhd (MyCreative) dapat menarik pengunjung sehingga 20,000 orang dalam misi jelajah ke seluruh negara. Dan Kelantan merupakan edisi keempat.

Menurutnya juga penganjuran konsert seperti itu memberi peluang rakyat Kelantan untuk berhibur dengan mengikuti peraturan ditetapkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau mencadangkan penganjuran konsert seperti itu perlu ditambah baik termasuk menempatkan pegawai penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mepastikan pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan termasuk berpakaian menutup aurat, asing lelaki dan perempuan.

Lokasi tempat berlangsung konsert Riuh Sokmo penuh sesak dengan kehadiran orang ramai sehingga deretan kenderaan boleh dilihat di kiri kanan jalan di Pekan Ketereh. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -