Malaysia dan Mongolia sama handal

- Advertisement -

Malaysia berkongsi mata dengan tuan rumah, Mongolia selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, hari ini.

Mongolia mendahului perlawanan pada minit ke-24 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Buyannemekh Ganbat.

- Advertisement -

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan negara mempertingkatkan tempo permainan, tetapi segala usaha untuk mencari gol penyamaan menemui jalan buntu hingga akhir separuh masa pertama.

Selepas rehat, skuad kendalian Hassan Sazali Waras, berusaha menembusi gawang Mongolia hingga tuah datang pada minit ke-54 apabila Aliff Izwan Yuslan merembat deras dan terkena pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Aksi pemain Malaysia dan Mongolia dalam aksi di Ulaanbaatar

Pemain negara terus mencari gol kemenangan, manakala pasukan tuan rumah mengasak, namun hingga perlawanan berakhir, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E hari ini, Korea Selatan membelasah Sri Langka, 6-0, sekali gus mengetuai kumpulan dengan tiga mata.

Skuad negara akan bertemu Sri Lanka dalam perlawanan kedua di gelanggang sama, Jumaat ini. – HARAKAHDAILY 14/9/22

- Advertisement -