Juara B-19 AFF: Saat terindah Hassan Sazali sebagai jurulatih

Skuad Harimau Malaya B-19 selamat tiba di KLIA, Sepang, malam tadi selepas menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Bekasi, Indonesia. (Foto daripada Facebook Football Association of Malaysia)
- Advertisement -

SEPANG: Kejayaan membimbing pasukan muda negara menjuarai Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 adalah detik terindah dalam karier kejurulatihan Ketua Jurulatih kebangsaan Hassan Sazali Mohd Waras.

Beliau yang menceburkan diri dalam profesion itu bermula dari peringkat belia pada 2007 menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kepercayaan terhadap kemampuannya untuk menggalas tugas sebagai pengendali skuad B-19 kebangsaan.

- Advertisement -

Hassan Sazali, 56, yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 2016 hingga 2017 dengan nada sebak berkata kejayaan diraih itu ingin dikongsi bersama peminat bola sepak tanah air yang tidak jemu memberi sokongan.

“Kejayaan menjuarai kejohanan ini paling manis kerana saya di posisi ketua jurulatih, yang sudah semestinya pengalaman bersama Kim Swee banyak membantu saya mencipta kejayaan ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus menyokong dan memberi ruang untuk saya (melatih). Syukur kita berjaya memperoleh kejayaan,” katanya sambil mengesat air mata ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Hassan Sazali berkata kerjasama daripada semua pasukan tempatan yang melepaskan pemain masing-masing untuk menyarung jersi pasukan negara perlu dihargai.

Beliau yang turut menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan muda negara kendalian Kim Swee yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia berkata Malaysia tidak ketandusan pelapis untuk diserap dalam skuad Harimau Malaya pada masa depan.

Perlawanan akhir Kejohanan B-19 AFF yang berlangsung di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, Indonesia, semalam menyaksikan Malaysia menundukkan Laos 2-0 sekali gus memastikan pasukan negara meraih gelaran kedua dalam tempoh empat tahun selepas buat julung kali muncul juara pada 2018.

Pada aksi final itu, dua gol masing-masing dijaringkan pemain pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-14 dan pemain tengah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-76 membolehkan Malaysia menebus kekalahan 0-1 kepada lawan sama pada aksi kumpulan sebelum itu.

Dalam pada itu, ketua pasukan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri tidak menyangka dapat memenangi anugerah pemain terbaik kejohanan dan bersyukur atas penghargaan tersebut.

“Tidak menjangka meraih pemain terbaik edisi kali ini tetapi kredit juga harus diberikan kepada rakan pasukan semua dalam pasukan, barisan kejurulatihan dan semua pihak terlibat,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -