Kematian tahanan warga emas tiada unsur jenayah

- Advertisement -

IPOH: Bedah siasat ke atas tahanan warga emas yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pagi semalam mendapati tiada sebarang unsur foul play atau jenayah.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata tiada sebarang kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

- Advertisement -

“Menurut hasil bedah siasat, punca kematian adalah Haemoperitneum due to the ruptured pancreatic pseudocyst iaitu pendarahan di bahagian perut disebabkan oleh kepecahan sista pankreas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dan merujuk hasil siasatan kepada koroner.

Semalam, suspek kes dadah yang ditahan di Jalan Carey di sini Sabtu lepas berusia 62 tahun itu, didapati berada dalam keadaan tidak sihat di lokap Balai Polis Jelapang ketika hendak dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pada 9.02 pagi.

Pihak polis telah menghubungi pihak hospital dan orang kena tahan (OKT) berkenaan dihantar ke HRPB.

OKT itu kemudian disahkan meninggal dunia pada kira-kira 10.30 pagi. – BERNAMA

- Advertisement -