Pecat Pengurus EPL: Siapa selepas Tuchel?

- Advertisement -

KELAB-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) baru bermain 6 perlawanan musim ini tetapi 2 pengurus pasukan telah dipecat oleh kelab-kelab mereka. 

Pada 30 Ogos lepas, Scott Parker dari Bournemouth telah meninggalkan kelab tersebut. Bournemouth telah memulakan kempen musim ini dengan buruk apabila melepaskan 16 gol dalam 3 perlawanan termasuk dibelasah oleh Liverpool 9-0. 

Beliau telah dilepaskan walaupun telah membawa kelab Selatan England itu ke EPL musim lepas. Mereka telah menduduki tempat kedua dalam saingan Championship (Bahagian 2). Walaupun mengalahkan Aston Villa 2-0 pada perlawanan pertama, mereka telah kalah kepada Arsenal 0-4 dan Manchester City 0-3 sebelum disembelih oleh Liverpool. 

Selepas perlawanan tersebut, Parker telah mengkritik polisi perpindahan pemain kelab itu dan mendakwa mereka tidak dilengkapi untuk menghadapi cabaran EPL.

Seminggu selepas pemergian Parker, pada 7 September Pengurus Chelsea Thomas Tuchel pula diumumkan akan meninggalkan kelab London itu. 

Pengumuman dibuat selepas Chelsea tewas kepada Dinamo Zagreb 0-1 dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan UEFA Champions League (UCL) musim ini. Tuchel  meninggalkan Chelsea hanya 16 bulan selepas memenangi UCL.

Rekod EPL Chelsea setakat ini tidaklah begitu buruk. Mereka berjaya memenangi 3 perlawanan, seri sekali dan kalah hanya 2 kali. Kelab itu berada di tempat ke 6 liga. Walau bagaimanapun Chelsea membelanjakan 278.4 juta pound untuk 10 pemain baharu pada musim panas lepas dan untuk perbelanjaan yang begitu tinggi pemilik kelab sudah tentu mahukan keputusan-keputusan yang lebih cemerlang. 

Perbelanjaan Chelsea itu adalah yang tertinggi di Eropah. Kekalahan 0-3 kepada Leeds dan 1-2 kepada Southampton bukan sesuatu yang meyakinkan bagi pelaburan yang dibelanjakan walaupun 3 minggu sebelum dipecat Tuchel telah mengadakan perbincangan mengenai menyambung kontrak beliau. 

Sky Sports UK melaporkan Tuchel tidak menyangka akan dipecat. Tetapi pemain-pemain baharu beliau gagal mencetuskan perubahan yang diharapkan dan bagi kelab yang begitu ‘brutal’ memecat pengurus-pengurus sebelum ini masa depan Tuchel tidak kelihatan cerah. 

Pada musim lepas, 10 pengurus telah dipecat. Di antara mereka adalah Steve Bruce (Newcastle), Nuno Espirito Santo (Tottenham), Ole Gunnar Solskjaer (Manchester United), Rafa Benitez (Everton), Claudio Ranieri (Watford) dan Marcelo Bielsa (Leeds United).

Sudah tentu lebih ramai akan dipecat selepas Tuchel dan Parker kerana kegagalan akan melibatkan kos yang tinggi kepada kelab-kelab. Jika kelab terlepas kelayakan ke UCL maka mereka akan kehilangan berjuta-juta pound. Begitu juga dengan kelab-kelab yang tersingkir ke Championship. Tetapi siapakah calon-calon pengurus yang berkemungkinan akan disingkirkan?

Satu nama yang disebut-sebut oleh media adalah, pengurus Liverpool Jurgen Klopp. Jika Chelsea berada di tempat ke 6, Liverpool berada di tempat ke 7 di dalam EPL. Jika Chelsea kalah kepada Dinamo Zagreb 0-1 di dalam UCL, Liverpool pula kalah kepada Napoli di dalam UCL dan dengan jaringan yang memalukan, 1-4.

Mungkin ada yang berhujah Liverpool menjadi juara liga pertama kali dalam 30 tahun di bawah Klopp. Liverpool juga memenangi UCL dan Piala Dunia Kelab FIFA dengan Klopp. Tetapi Tuchel juga pernah memenangi UCL dan Piala Dunia Kelab FIFA dengan Chelsea tetapi masih dipecat.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers, juga satu lagi nama yang dikatakan akan kehilangan pekerjaan. Leicester sekarang berada di tempat tercorot di dalam EPL. Kelab yang pernah menjadi juara EPL pada musim 2015/16 hanya seri sekali dan kalah 5 kali. Pemilik dari Thailand kelab itu mungkin tidak akan bersabar lebih lama lagi jika prestasi kelab itu tidak berubah.

Di dalam dunia EPL, seolah-olah tidak ada peluang kedua diberikan kepada mereka yang gagal. Pengurus-pengurus kerap bertukar. Budaya ini bukan sahaja berlaku di dalam arena bola sepak di UK tetapi juga di dalam politik di mana dalam tempoh 6 tahun, UK telah melihat 4 Perdana Menteri.

Pada tahun 2016, David Cameron telah meletakkan jawatan setelah pengundi UK memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) di dalam satu referendum yang dikenali sebagai Brexit. Cameron menyokong UK kekal (remain) dan apabila pilihan beliau ditolak, beliau telah berundur.

Pada tahun 2019, Theresa May yang menggantikan Cameron telah meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan Brexit (proses UK meninggalkan EU). Pengganti May pula, Boris Johnson telah melepaskan jawatan tahun ini setelah kehilangan sokongan dari beberapa orang Menteri Kabinet yang meletakkan jawatan. 

Beberapa peristiwa yang menyalahi undang-undang dan memalukan telah juga menyebabkan kejatuhan Johnson. Masalah ekonomi yang tidak terkawal dan inflasi turut menjadi punca.

Dalam peristiwa yang dikenali sebagai ‘Partygate’, Johnson telah didenda pada bulan April tahun ini kerana gagal mematuhi peraturan-peraturan ‘lockdown’. Beliau telah menghadiri pertemuan untuk menyambut ulangtahun hari jadi beliau pada bulan Jun 2020. 

Jika satu peristiwa kecil seperti ini boleh mengakibatkan kejatuhan seorang Perdana Menteri yang juga seorang ketua parti politik, bayangkan apa akan terjadi jika beliau terlibat di dalam skandal mencuri duit rakyat atau mencuri dana badan kebajikan. Sudah tentu beliau akan disumpah oleh setiap rakyat UK.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -