AKM Kedah catat lebih 50,000 pengunjung hari pertama

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung pada hari pertama penganjurannya, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi keseluruhan pengunjung ke tapak AKM di pekarangan Stadium Darul Aman di sini setakat malam tadi dan orang ramai yang menyertai program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap semalam yang juga sebahagian program AKM.

- Advertisement -

“Kita menjangkakan hari cuti hari ini kehadiran pengunjung lebih kurang semalam, harap boleh dapat 30,000 hingga 40,000 pengunjung pada hari ini.

“Tumpuan utama tentunya 27 reruai agensi kerajaan selain daripada itu, kita libatkan lebih 140 usahawan pelbagai sektor perniagaan. Jemput datang untuk melihat sendiri produk-produk tempatan terutamanya di luar bandar di sini,” katanya kepada Bernama pada hari kedua penganjuran AKM di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

KPLB merupakan kementerian peneraju Jelajah AKM Kedah yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad.

Ramlan berkata pengunjung AKM juga boleh menikmati pembelian seekor ayam dan kampit beras lima kilogram pada harga RM10 sahaja yang ditawarkan semasa jualan ‘Happy Hour’ pada 11 pagi dan 4.30 petang sepanjang tiga hari program.

Lebih menarik, KPLB turut menyediakan tarikan buat pengunjung menerusi Konsert Gegaq@JAKM yang menampilkan barisan artis tanah air seperti Rahim Maarof, Haqiem Rusli dan Khai Bahar, malam ini.

Pertunjukan adat kebudayaan serta hasil kraf tangan Orang Asli juga akan dipertontonkan kepada pengunjung di ruangan Perkampungan Orang Asli yang merupakan satu daripada keistimewaan Jelajah AKM Kedah.

Jelajah AKM Kedah adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

Penganjuran Jelajah AKM bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan. – BERNAMA

- Advertisement -