Tingkatkan prestasi Pelabuhan Tg Pelepas dan Pasir Gudang

- Advertisement -

PAGI ini saya berada di Pasir Gudang untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Program CSR Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia.

Syabas dan tahniah LPJ kerana telah dan akan melaksanakan banyak program bagi menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat terutamanya golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) amat menghargai usaha-usaha sebegini yang seiring dengan usaha kerajaan yang berterusan membantu rakyat kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

Dalam ucapan, saya menyeru pihak LPJ agar meningkatkan prestasi di dua pelabuhan bawah kendalian LPJ iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang. 

Ini kerana kedua-dua pelabuhan tersebut merupakan pintu masuk yang penting bagi negara atau ‘Malaysia Southern Gateway’ yang pastinya membawa banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Pada tahun lalu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah berjaya mengendalikan 11.2 juta TEUs dengan peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding tahun 2020. 

Saya harap pada tahun ini PTP mampu mengekalkan momentum ini. Begitu juga dengan Pelabuhan Pasir Gudang, diharapkan terus kekal sebagai hab komoditi terutamanya tempat penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar di dunia.

Saya berharap LPJ dapat memecahkan rekod ini atau sekurang-kurangnya dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang, walaupun pelabuhan-pelabuhan di seluruh dunia sedang menghadapi cabaran dan kesan sampingan akibat peperangan Russia-Ukraine. 

Dalam majlis sama, saya turut menyampaikan sumbangan cermin mata kepada pelajar-pelajar sekolah serta topi keledar kepada LPJ, PTP, Sekolah dan Ketua Kampung Pasir Gudang, sebagai antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPJ.

Hadir sama, Pengerusi LPJ, Tuan Haji Rosnan Fathlal;  dan Pengurus Besar LPJ, Encik Kamaruzaman Bin Hj Munasir. 

YB DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -